suria

“Saya Mahu Pulang!”

Ruby (kiri) bersama rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di lapangan terbang Surabaya selepas mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air pada 1 Disember.

SURABAYA: Saya tidak percaya menempuhi perjalanan menaiki bas selama 20 jam dari Bali ke Surabaya, hanya untuk terlepas penerbangan pulang ke Malaysia.

Terkandas di sini tidak pernah saya fikirkan. Ia sepatutnya menjadi percutian yang menenangkan buat saya dan lima rakan di Bali.

Pada hari kedua percutian, saya mendapat berita mengenai penerbangan dari Bali dibatalkan disebabkan letusan Gunung Agung.

Dengan penuh berharap, saya pergi ke lapangan terbang Surabaya dan cuba mendapatkan penerbangan dari sana.

Saya juga menunggu jadual baharu penerbangan dari Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali.

Walaupun keadaan begitu getir, petugas di lapangan terbang di Bali begitu tenang dan membantu dalam menghadapi situasi ini.

Kaunter khidmat bantuan terus dibuka bagi menjawab semua pertanyaan dan petugas juga mengagihkan air mineral kepada pelancong yang terkandas.

Kebanyakan penumpang kekal tenang dan sentiasa memeriksa telefon mereka bagi mengetahui perkembangan terbaru mahupun mencari alternatif lain untuk meninggalkan lokasi itu.

Ada yang duduk secara berkumpulan dan menceriakan diri mereka dengan hidangan panas, sambil sesetengahnya bermain kad bagi mengisi masa terluang.

Selepas meneliti beberapa pilihan, saya dan rakan-rakan memutuskan untuk pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya.

Kami membeli tiket van mini untuk perjalanan pukul empat petang dan kami tiba pada pukul tujuh petang.

Kami berjaya mendapatkan beberapa tiket terakhir ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Lion Air yang dijadualkan akan berlepas pada pukul 10 pagi keesokan harinya.

Bagaimanapun, van kami yang boleh memuatkan seramai 10 penumpang bertukar menjadi bas untuk 44 orang.

Disebabkan pertambahan jumlah penumpang dan trafik yang teruk, bas yang kami naiki tiba pada pukul 10.30 pagi.

Kami tiada pilihan selain membeli tiket baharu dengan harga lebih tinggi.

Penerbangan terawal dijadualkan pada 1 Disember kerana tiket bagi tarikh lain sudah habis dijual.

Penerbangan baharu kami pada pukul 6.45 pagi dan berhenti di Jakarta sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, kami terpaksa mencari penginapan untuk dua hari di Surabaya.

Sewaktu mendaftar masuk di hotel, saya mendapat berita bahawa lapanga terbang Ngurah Rai kembali dibuka pada tiga petang Rabu.

Seorang rakan yang turut terkandas di Bali menghantar mesej memberitahu penerbangan terawal dijadualkan pada 2 Disember sekiranya tiada letusan dari Gunung Agung.

Penat, kecewa dan kehabisan wang. Apa yang saya mahukan sekarang ialah pulang ke rumah!

* Artikel ini ditulis oleh Ruby Lim, penulis di The Star.

Bali, Gunung Agung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain