PETALING JAYA: Kemudahan tandas di negara ini bukan sesuatu yang asing, namun timbul kisah kurang enak apabila seorang lelaki mendakwa terpaksa membeli kupon ketika ingin menggunakan bilik air di sebuah stesen minyak.
Situasi yang dianggap jarang berlaku itu mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial Facebook.
Penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Aziz berkata, dia terkejut apabila mengetahui tentang caj yang dianggap umpama 'paksa rela' itu ketika singgah di sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu pada tengah hari Jumaat.
"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa ketika memuat naik mengena perkara tersebut.
"Cuma saya terkejut apabila orang awam yang ingin menggunakan tandas di situ perlu membayar kupon dan mengambil kunci di kaunter," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.
Bapa kepada tiga anak yang dalam perjalanan pulang ke kampung dari Johor memberitahu, dia dan isterinya singgah di stesen minyak tersebut untuk membersihkan bayi mereka yang baru berusia dua bulan.
Katanya, dia tidak jadi menggunakan tandas tersebut kerana beranggapan pihak stesen minyak tidak wajar mengenakan caj terhadap kemudahan asas seperti yang diamalkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).