BANDARAYA MELAKA: Pencuri hanya tinggalkan wang kertas RM1 sahaja pada setiap tabung yang dipecahkan menurut Pengerusi Masjid al-Ehsan, Kampung Limbongan, Kamarudin Mohd. Ali. Ia selepas empat daripada lima tabung peti, termasuk sebuah tabung kutipan amal untuk Aman Palestin yang diletakkan di masjid itu dicuri awal pagi Rabu dengan anggaran kerugian lebih RM2,000. Menurut Kamarudin, kejadian itu disedari kira-kira jam 5.30 pagi oleh jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh apabila mendapati tabung-tabung peti di dinding telah pecah manakala sebuah tabung peti besi berada di dalam keadaan terbalik. “Saya percaya pencuri masuk ke dalam masjid dengan cara mengumpil jeriji besi yang dipasang di salah satu tingkap sebelum bertindak memecahkan tiga tabung peti serta sebuah tabung kutipan Aman Palestin. “Sebuah lagi peti besi lagi tidak berjaya diumpil dan terselamat, namun kita anggarkan kerugian lebih RM2,000 kerana tabung kutipan Aman Palestin itu tidak dibuka sejak tiga bulan lepas,” katanya ketika ditemui di Masjid al-Ehsan Limbongan di sini, Khamis. Tambah Kamarudin, yang menghairankannya apabila pencuri terbabit turut meninggalkan wang RM1 pada setiap setiap tabung seakan-akan dijadikan ‘ibu duit’ sebagaimana menjadi amalan khurafat dengan harapan wang menjadi berlipat kali ganda. Jelasnya, kejadian itu merupakan kali kedua sejak tiga tahun lalu malah peti besi hijau seberat 60 kilogram milik masjid berkenaan pernah ditemui di tepi pantai di kawasan berdekatan selepas tidak berjaya diumpil. “Masjid ini mampu memuatkan kira-kira 700 orang jemaah pada waktu solat Jumaat dan ramai yang bersedekah, mungkin disebabkan itu juga ia menjadi sasaran si pencuri melakukan hal terkutuk ini,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan laporan telah dibuat di Balai Polis Malim. “Kita menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9 pagi hari yang sama dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 547 Kanun Keseksaan,” katanya.-Sinar Harian