suria

Sultan Nazrin Tegur Institusi Calar Imej Islam Menerusi Penguatkuasaan

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas  mereka melakukan pelbagai tindakan atas nama melindungi Islam namun sebenarnya mencemarkan imej agama suci itu.

Titah baginda tindakan seperti kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan, walaupun dibuat atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan demi melindungi Islam, telah menyebabkan kesucian dan nama baik Islam di negara ini semakin tercalar.

"Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

"Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringat Negeri Perak di sini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Selain itu, baginda juga mahu perbuatan memulaukan kumpulan atau memutuskan silaturahim sesama  individu hingga ke tahap enggan menguruskan jenazah hanya kerana perselisihan tafsiran dan pandangan,  wajib dihentikan serta dibanteras secara tegas.

"Islam menganjurkan kesederhanaan. Majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan wajib bangun bersuara dan jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti," titah Sultan Nazrin.

Baginda juga bertitah supaya penyeru kebenaran meneliti metodologi dakwah serta  kaedah yang digunakan untuk menangani pelbagai isu agama terutama generasi muda.

Ini terutamanya  dalam menghadapi perubahan pesat sosial budaya pada era kebangkitan teknologi dan umat yang lebih celik huruf, lebih terpelajar dan lebih terdedah terutama generasi muda, titah baginda.

Baginda bertitah Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan berhemah, secara sopan serta terhormat dan  dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan dan  kekerasan serta perbuatan yang boleh menjatuhkan aib.

“Islam hendaklah dipertahankan kebenarannya dan dilindungi kesuciannya melalui perbincangan dan penghujahan berdasarkan fakta dan kebenaran dalam semangat yang menghormati kelainan dan perbezaan pandangan," titah baginda.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Ismail Abdullah dari Bukit Merah, Bagan Serai yang menerima wang tunai RM5,000, sijil, plak serta hadiah iringan.

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Imam kepada Bahari Ahmad dari Kampung Temelong, Lenggong; Hussain Lebai Ismail dari Felda Sungai Klah, Sungkai (Anugerah Muazzin); Saad Brahim dari Kampung Masjid Batu, Kuala Kurau (Anugerah Siak) dan Muhd Nassir Thanabalan Abdullah dari Taman Seri Raiya, Ipoh (Anugerah Pendakwah). Kesemua mereka menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil serta hadiah iringan, masing-masing.  --Bernama

Sultan Nazrin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain