suria

Siasat Kes Lombong Pasir Di Selangor Tiada Unsur Politik - SPRM

Dzulkifli Ahmad.

PUTRAJAYA: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu baru-baru ini berhubung aktiviti melombong pasir di Selangor adalah bebas daripada unsur politik mahupun sebarang pengaruh atau sabotaj, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.  

Beliau menegaskan apa-apa tindakan yang SPRM ambil adalah bersifat profesional dan tidak ada sama sekali perkiraan politik.

"Jadi apa-apa tindakan yang SPRM ambil  adalah berdasarkan maklumat yang SPRM terima. Dan apabila mempunyai asas kepada maklumat yang diterima maka SPRM jalankan siasatan.  

"Semua pihak perlu bersikap profesional dan biar SPRM menjalankan tugas dan tanggungjawab. Biar SPRM selesaikan siasatan yang sedang berjalan. Tunggulah minggu depan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di sini, Sabtu.  

Dzulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pejabat Menteri Besar Selangor pada 30 November selepas majlis menandatangani ikrar bebas rasuah oleh pucuk pimpinan Persatuan Graduan Muda Malaysia (Graduan). 

Kenyataan pejabat Menteri Besar Selangor pada 30 November mendakwa penyebaran maklumat kononnya anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara individu yang ditahan SPRM pada 29 November kerana terbabit dalam perlombongan pasir haram adalah berniat jahat.

Kenyataan pejabat Menteri Besar itu bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan bahawa individu yang ditahan terbabit adalah anak saudara Mohamed Azmin.

Pada 30 November, Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah tahanan reman tujuh hari ke atas empat individu bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Tempoh tahanan reman berkenaan berakhir 6 Disember.

Empat individu termasuk dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan, disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.  - Bernama

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain