suria

Murid India Sertai Khatan

Shangkara Bhavan dan R.Rakulan bersama rakan-rakan pada program khatan perdana. Foto Sinar Online

KUANTAN: Pernah diserang penyakit ketika usia lima tahun sehingga menyebabkan dia tidak boleh membuang air kecil membuatkan dia mahu berkhatan.

Bagi murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad, R. Shangkara Bhavan, dia tidak takut untuk bersunat malah kawan-kawannya beragama Islam memberi sokongan kepadanya.

Menurutnya, dia diberitahu bersunat dapat mengelak penyakit.

"Apabila cikgu edarkan borang untuk menyertai program ini, saya cukup gembira.

"Ibu saya, V Mariamah, 39, pula memang mahu saya bersunat sejak dahulu lagi," katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana Parlimen Paya Besar, di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sabtu.

Hadir merasmikan, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsuddin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Bagi R Rakulan, 9, dari SK LKTP Lepar Hilir 2, pula, dia menyertai program khatan perdana itu selepas melihat ramai kawan sebaya berbuat demikian.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, dia seronok dapat bersama kawan-kawan bersunat beramai-ramai.

Dalam pada itu, bapanya, R Rajakumar, 37, berkata, berkhatan tidak asing buatnya kerana dia juga berkhatan ketika usia sembilan tahun.

"Saya mahu ia menjadi tradisi dalam keluarga saya selepas ini.

"Anak saya juga tidak takut untuk berkhatan pada program ini," katanya.

Program anjuran Biro Sehati Sejiwa Umno  Paya Besar itu mendapat penyertaan 521 peserta.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, program julung kali diadakan itu mendapat kerjasama daripada pasukan perubatan tentera dan Pejabat Kesihatan Kuantan seramai 30 orang.

Beliau berkata, program khatan perdana itu dilaksanakan selama dua hari.

"Walaupun sasaran peserta seramai 1,000 tetapi penyertaan yang diterima 530 peserta.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini," katanya. - Sinar Online

khatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain