suria

‘Berkali-Kali Lafaz Lailahaillallah’

Salihah mendukung Natasha untuk dibawa masuk ke dalam rumah melalui air yang masih bertakung di luar rumah.

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak OKU Cerebral Palsy diserang sawan lebih 30 kali sehari dalam tempoh seminggu ketika berteduh di pentas dikir barat selepas rumahnya dinaiki air banjir di Kampung Kubang Keranji, di sini.

Lebih memburukkan keadaan, apabila kanak-kanak itu, Natasha Mohd Zailani, 10, mengacip giginya sehingga berdarah menyebabkan ibunya, Salihah Harapan Abdullah, 37, berkali-kali membisikkan kalimah Lailahaillallah ke telinga kanak-kanak itu.

“Anak saya menghidap penyakit ini sejak umur tujuh bulan selepas terkena jaundis ketika dia masih bayi. Sejak itu perkembangannya jadi lambat, merangkak lambat dan tidak berjalan sebaliknya kerap terkena sawan.

“Ketika banjir pula, saya terpaksa dukung dia dengan mengharung air sedalam setengah meter untuk dibawa ke pentas dikir barat di hadapan rumah kerana air sudah memenuhi rumah,” katanya ditemui ketika kunjungan Badan Bukan Kerajaan Info Semasa Kubang Kerian, Mohamad Afandi Mohamad dan Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Kubang Siput, Che Zaman Hussin, Ahad.

Tak boleh kena air

Salihah berkata, dia, Natasha dan empat lagi anaknya, Mohd Haris, 13; Mohd Nazrin, 9; Mohd Danish Hakim, 6, dan Ain Hawani, 4, bermalam di pentas itu bersama kakaknya, Hakimah Harapan, 42, juga ibu tunggal bersama tiga anak serta ibu mereka, Habsah Ali, 62.

“Tidur malam pula nyamuk, sejuk, tapi kami terpaksa sebab tiada tempat lain lagi, selain saya tak ada kenderaan untuk bawa anak-anak termasuk Natasha ke pusat pemindahan sementara atau mana-mana tempat yang lebih baik.

“Ditambah pula, Natasha tidak boleh berjalan dan sayalah yang akan dukung dia untuk mengelak dia terkena air atau tidur di dalam air ketika rumah kami dipenuhi dengan air jika hujan lebat,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja air banjir di ruang tamu rumah kering semalam, dia segera membersihkan ruangan itu dan membawa masuk Natasha kerana bimbang tahap kesihatan anaknya itu, walaupun dapur dan bilik masih digenangi air.

Salihah mendukung Natasha sebaik kanak-kanak itu diserang sawan. foto Sinar Online.

“Apabila hujan lebat, air akan bertakung di luar rumah separas lutut, manakala di dapur juga dipenuhi air dan kalau lebat lagi, maka ruang tamu pula akan dipenuhi air.

“Di hadapan rumah ini kedai makan kakak saya, Hakimah pun sama air naik hingga paras lutut dan kami tidak dapat berbuat apa-apa serta perlu terus berniaga dalam keadaan kedai masih ada air,” katanya.

Anak sulung lemah jantung, kerap pengsan

Salihah berkata, dia membantu kakaknya itu di kedai makan dan menerima upah RM30 sehingga RM40 sehari bergantung pada hasil jualan.

Wang itulah yang digunakan untuk menampung mereka sekeluarga selepas dia diceraikan empat tahun lalu.

“Upah tu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sekolah anak, lebih-lebih lagi anak sulung, Raihani Mohd Zailani, 18, mula sambung pembelajaran di Kolej Komuniti Tanah Merah sejak tiga bulan lalu. Dia pula baru disahkan menghidap lemah jantung pada September lalu dan kerap pengsan.

“Anak-anak yang lain semua bersekolah kecuali Ain Hawani kerana baru empat tahun dan Natasha yang sakit. Semua mereka perlu belanja yang banyak termasuk Natasha yang memerlukan belanja ubat-ubatan, rawatan dan susu,” katanya.

Katanya, dia memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, namun masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga dan sebab kekangan kewangan juga dia tidak mampu membeli susu kepada Natasha seperti yang dinasihatkan doktor.

“Saya tidak dapat keluar cari kerja lain kerana Natasha perlukan sepenuh perhatian. Apabila dia mula terkena sawan, maka seharianlah penyakit sawan itu menyerang menyebabkan saya perlu berada di sampingnya untuk menenangkannya,” katanya.

Keluarga ini boleh dibantu melalui akaun bank Salihah Harapan Abdullah 03100-41-00020000-1 (BSN) atau ke rumah mereka di hadapan Sekolah Kebangsaan Long Gafar, di sini. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain