PETALING JAYA: Pakatan Harapan secara rasminya mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya. Keputusan itu sekali gus mengesahkan Dr Mahathir bakal bertanding pada pilihanraya umum nanti. Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan pada akhir pertemuan gabungan parti itu di Putrajaya telah mendapat bantahan. Naib Presiden PKR, Tian Chua membantah keputusan itu dan enggan menerimanya sebagai ketetapan muktamad. Beliau berkata, perkara yang penting seperti itu sepatutnya tidak dibuat segelintir pihak dan menyarankan ia dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat parti gabungan lain. Berdasarkan beberapa sumber, pemimpin muda Pribumi, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga terkejut dengan cadangan itu kerana di peringkat dalaman, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali adalah pilihan utama untuk jawatan itu. Pemilihan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dipersetujui lima pemimpin tertinggi Pakatan Harapan pada pertemuan yang berlangsung dua hari itu. Pemimpin terbabit adalah, Dr Mahathir selaku pengerusi, Dr Wan Azizah (presiden), timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamed Sabu. Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kepimpinan PKR. Sementara itu, Naib Presiden Pribumi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang turut hadir dalam pertemuan itu berkata, majoriti yang menyertainya memihak kepada Dr Mahathir. "Masyarakat perlu tahu siapa yang akan memimpin negara ini jika parti ini menang. Tak kira setakat mana perbincangan diadakan, pokoknya Mahathir tahu bagaimana untuk melaksanakan tugasnya. "Bagi Wan Azizah pula, dia memegang mandat untuk Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.