KLANG: Pada awalnya dia teruja dapat pulang ke tanah air tetapi kegembiraan Devasuria Subramaniam bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia tidak dibenarkan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Trichy di Tamilnadu. Langkah Devasuria, 37, terhenti di lapangan terbang tersebut kerana dia tinggal lebih masa di negara itu. Tiket penerbangannya dengan pesawat Malindo Air turut dibatalkan. "Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ia mengambil masa selama enam jam perjalanan dari kampung suami saya ke lapangan terbang dan kini kami perlu pulang ke sana semula," katanya. Wanita itu berkata dia tidak membaca dengan teliti cetakan pada visa yang perlu diperbaharui selepas 45 hari. Devasuria mendapat perhatian media selepas video dia menangis teresak-esak meminta pertolongan menjadi tular di media sosial. Dalam video tersebut, Devasuria mendakwa dia terperangkap di kampung suaminya di Kamuthi yang terletak di daerah Ramanathapuram, Tamilnadu. Malah wanita itu mendakwa turut didera secara fizikal oleh ibu mertuanya. Devasuria mendakwa suaminya tiada wang untuk membeli tiket baharu untuk dirinya dan juga anak mereka berusia empat tahun untuk pulang ke Malaysia. Menurut wanita itu, suaminya, S.Muralidas meminjam wang daripada syarikat pemberi pinjaman wang untuk membeli tiker penerbangan yang telah dibatalkan. "Dia sudah membayar faedah pinjaman wang tersebut dan dia juga tidak boleh meminjam semula wang. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan agar dapat kembali pulang ke tanah air," katanya. Terdahulu, The Star melaporkan Devasuria sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah hari Selasa selepas berlepas dari Lapangan Terbang Trichy di Tamilnadu pagi tadi.