PETALING JAYA: Seorang penganggur menangis selepas dijatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini Selasa kerana mencuri pelbagai jenis makanan, tiga hari lepas. Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Nazrul Khairi Mohammad Badri, 31, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mahkamah memerintah Mohammad Nazrul Khairi dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 2 Disember lepas dan akan dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda. Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri pelbagai jenis makanan antaranya bawang, air botol dan coklat yang keseluruhannya bernilai RM285.78 di Pasar Raya AEON Sunway Pyramid, di sini, pada 4.40 petang, 2 Disember lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman berbentuk denda yang rendah dengan alasan dia telah menganggur selama lima bulan. "Saya terpaksa mencuri kerana tidak mempunyai duit kerana tidak bekerja, saya juga telah direman," katanya sambil menangis. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman yang berat supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. "Seksyen 380 Kanun Keseksaan tidak menghalalkan seseorang individu untuk mencuri dengan alasan tidak ada duit," katanya. Mengikut fakta kes, ketika kejadian pengadu yang bekerja di situ melihat tertuduh memasukkan barangan tersebut ke dalam begnya tanpa membuat pembayaran. - BERNAMA