KLANG: Rakyat Malaysia, Devasuria Subramaniam yang muncul dalam video yang menjadi tular apabila menangis teresak-esak selepas mendakwa didera ibu mertuanya, menarik nafas lega apabila selamat kembali ke tanah air dari Tamilnadu, India. Penerbangan dinaiki wanita berusia 37 tahun itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah hari Selasa selepas berlepas dari Lapangan Terbang Trichy, awal pagi ini. "Saya amat sedih meninggalkan suami tetapi saya tak boleh tinggal di sana kerana ada isu serius dengan ibu mertua saya," kata Devasuria ketika dihubungi di rumah suaminya di Kamuthi di daerah Ramanathapuram, Tamilnadu pada Isnin. Ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu berkata sepanjang tempoh tiga bulan berada di sana, dia didera secara fizikal oleh ibu mertuanya sebanyak tiga kali. Kata Devasuria, hubungannya dengan suami juga mula renggang selepas mereka pulang ke India. Devasuria dan suaminya, S.Muralidas, 34, berkahwin di Malaysia kira-kira lapan tahun lalu. Muralidas menetap di Malaysia selama 16 tahun iaitu lapan tahun secara sah menggunakan permit kerja dan kemudian tinggal lebih masa selepas berkahwin kerana tidak dapat memperbaharui permitnya. "Saya cuba memperbaharui premit saya tetapi tiada apa yang boleh dilakukan, jadi saya berputus-asa. Oleh itu saya buat keputusan untuk pulang bersama isteri dan anak lelaki," kata Muralidas yang bersama Devasuria semasa temubual menerusi telefon itu. Oleh kerana tinggal secara haram di Malaysia, Muralidas tidak dibenarkan memasuki negara ini selama lima tahun. Devasuria berkata dia akan pulang ke rumah ibunya di Sentul dan berazam untuk mencari pekerjaan bagi menyara kehidupan dia dan anak lelakinya. "Saya tidak bekerja sejak lapan tahun lalu dan kehidupan akan menjadi lebih sukar tanpa suami disisi tetapi saya perlu bergerak ke hadapan," katanya. Sub-Inspektor J.Sagayarani dari balai polis wanita di Rameswaram berkata seorang pegawai polis akan menemani Devasuria dalam perjalanan ke lapangan terbang. "Saya telah mengarahkan seorang pegawai polis untuk memastikan Devasuria selama mendaftar masuk ke pesawat yang akan dinaikinya," kata Sagayarani.