PETALING JAYA: Tempoh hampir empat tahun meninggalkan dunia pembinaan tidak disia-siakan wanita ini apabila menggunakan sepenuhnya pengalaman selama 11 tahun untuk beralih menceburi bidang masakan pula. Ternyata antara sektor pembinaan dan masakan ada sedikit sinonim dan ia terserlah berikutan bakat yang dimiliki wanita berusia 34 tahun ini. Keunikan Nor Fariza Basar (gambar), menghasilkan kek soto setinggi tiga tingkat bukan sahaja mengejutkan tetamu di sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di Batu Pahat, Johor, malahan mendapat pujian netizen apabila ia dimuat naik ke laman sosial Facebook. Kek soto seberat 10 kilogram (kg) itu dihiasi dengan daun sup, cebisan ayam, bawang goreng dan kacang, manakala sup dan sambal kicapnya pula dihidangkan secara berasingan. "Idea kek soto itu sebenarnya datang daripada pengantin sendiri yang mahu meraikan majlis perkahwinannya dengan konsep ala kampung. "Dia mahukan sesuatu yang ringkas tetapi persembahan yang luar biasa. Tidak sangka pula akan viral," katanya pembantu teknikal dalam bidang pembinaan itu ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Kata wanita yang berasal dari Rengit itu, kek soto yang bernilai RM150 itu sebenarnya sama dengan soto biasa, cuma cabarannya adalah untuk memastikan struktur kek soto tiga tingkat itu benar-benar kukuh agar tidak mudah runtuh. Fariza juga tidak menafikan bahawa pengalamannya terlibat dalam industri pembinaan sedikit sebanyak membantu dia mendapatkan ilham untuk menghasilkan tempahan yang memerlukan struktur yang kukuh. Tambahnya, selain kek soto tersebut, kebanyakan pelanggannya menempah pulut kuning untuk dijadikan hantaran perkahwinan dan hidangan sampingan dalam pelbagai jenis majlis. "Setakat ini, belum ada lagi pelanggan yang membuat tempahan untuk bentuk pulut kuning yang pelik-pelik. "Kebanyakan mereka mahu rekaan seperti tas tangan atau bentuk lipatan baju sebagai hantaran," ujarnya yang kini menjalankan perniagaan itu sepenuh masa.