suria

10 Minit, Lebih 100 Nanas Licin

KUALA LUMPUR: Hanya 10 minit, kira-kira 120 nanas yang dijual pada harga murah di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di sini, Jumaat, licin.

Nanas jenis MD2 itu dijual pada harga hanya RM2 sebiji, berbanding harga pasaran antara RM5 dan RM6 sebiji.

'Pesta nanas' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bermula pukul 10.30 pagi dan dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Acara yang menarik perhatian para pengunjung itu merupakan penganjuran kali kedua selepas mendapat sambutan menggalakkan pada Khamis, yang menyaksikan 120 biji nanas dijual dalam masa 22 minit.

Bagaimanapun jualan nanas terpaksa dihadkan sebiji untuk setiap orang bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung menikmati buah tempatan itu.

Keistimewaan nanas MD2 adalah lebih manis, selain kulit dan isinya berwarna keemasan setelah masak.

Selain itu, bentuk buah yang menarik turut menjadi faktor nanas jenis ini mendapat sambutan di Eropah dan Timur Tengah.

Difahamkan, jualan murah nanas akan diteruskan di gerai pameran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sempena hari terakhir PAU 2017 pada Sabtu.

PAU 2017, nanas MD2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain