KUALA LUMPUR: Pemilik Fashion Valet, Datin Vivy Yusof, meminta dirinya tidak dilaga-lagakan dengan pelakon dan pengacara, Neelofa. Usahawan berusia 29 tahun itu menjelaskan bahawa kedua-dua mereka sebenarnya berkawan baik dan sering bekerjasama dalam perniagaan. "Saya rasa orang tak tahu yang kami berkawan baik. Kami tak ada dengki antara satu sama lain. "Saya rasa kami boleh menjadi contoh yang buat orang Melayu gembira dan terus menyokong antara satu sama lain," katanya selepas sesi dialog Bicara Orang Muda Ikon Orang Muda di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017, Sabtu. Beliau berkata demikian mengenai perbandingan dirinya dengan Neelofa yang merupakan pengasas tudung jenama Naelofar Hijab berikutan kedua-dua ikon itu mengusahakan perniagaan tudung. "Dia (Neelofa) sangat menyokong Fashion Valet dan saya juga menyokong Naelofar Hijab. "Neelofa ada kekuatan dia dan begitu juga saya ada kekuatan sendiri, memang lain," katanya sambil menambah beliau akan mengeluarkan koleksi kolaborasi Neelofa X Fashion Valet pada bulan ini. Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat lebih ramai golongan wanita yang bergelar usahawan mengikut jejak kejayaan Vivy dan Neelofa. Vivy mengakui terkejut dengan pengumuman tersebut dan berterima kasih kepada Najib yang mengiktiraf usahanya selama ini bersama usahawan wanita yang lain. "Ini dapat membakar semangat bukan sahaja orang luar untuk mendapat inspirasi tetapi saya sendiri dalam menaikkan tahap kerjaya saya," katanya. Dalam pada itu, Vivy menyifatkan masih jauh lagi perjuangan orang Melayu sebagai usahawan untuk sampai ke tahap antarabangsa. Beliau mencadangkan supaya lebih banyak pendedahan dan bantuan boleh diberi kepada orang Melayu dalam bidang perniagaan. "Saya rasa dah banyak kerajaan buat menerusi pelbagai agensi untuk memastikan golongan muda menyahut cabaran dan ambil peluang yang telah diberikan," kata Vivy.