SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjemut secara terbuka ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid ke Unit Perancang Ekonomi (EPU). Menerusi status Twitternya, Abdul Rahman berkata, Sheila akan diberi taklimat mengenai keadaan semasa ekonomi Malaysia. “Saya juga ingin menjemput Sheila atau sesiapa selebriti kita yang tercinta untuk datang ke EPU,” tulisnya. Dalam pada itu, katanya perkara ini boleh menjadi satu program anjuran Persatuan Seniman Malaysia. “Saya gembira menjadi tuan rumah,” katanya lagi. EPU merupakan satu unit yang berperanan penting dalam membentuk pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sementara itu, Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang diusulkan. “Sebagai badan yang menguruskan artis, saya berterima kasih di atas kesudian pihak kerajaan mahu bersama-sama berkongsi maklumat khususnya hal ekonomi. “Bukan semua artis tahu mengenai hal-hal ekonomi ni. Jadi ia adalah usaha yang baik buat kami,” katanya kepada Sinar Online. Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, Seniman akan bertemu pegawai yang berkenaan untuk membincangkan isu ini dengan lebih lanjut. “Kami akan jumpa esok. Dari situ kita tahu nanti, apakah bentuk program, berapa yang boleh datang dan sebagainya,” katanya. Terdahulu, beberapa selebriti tempatan yang memuat naik status di laman sosial masing-masing yang menghentam kerajaan. Antaranya Sheila, Adibah Noor dan Nur Fathia. Ketiga-tiganya lantang menyuarakan pendapat mengenai keadaan ekonomi semasa yang menyebabkan rakyat hidup terbeban. - Sinar Online