KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mencari mekanisme baharu yang lebih baik dan berkesan dalam menangani isu penipuan pakej umrah di negara ini susulan pembatalan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams) bagi permohonan visa umrah pada Sabtu. Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kaedah baharu itu akan diperhalusi dan memberi jaminan hanya mereka yang beragama Islam akan terlibat mengendalikannya. Menurutnya, mekanisme itu akan meliputi semua aspek termasuk cadangan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). “Mekanisme baharu itu pastinya akan lebih cekap ... dan tidak membebankan pengguna. Kementerian memberi jaminan mekanisme baharu itu adalah 100 peratus Islam. Kita ambil kepentingan isu sensitiviti," katanya pada sidang media petang Sabtu. Ia berlangsung susulan pembatalan pelaksananaan Imams yang diumumkan Mas Ermieyati lebih awal dalam kenyataan di laman sosial beliau. Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembatalan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah sebagai tindakan tepat. “Saya tidak bersetuju sistem Imams dikenakan untuk urusan visa umrah. Pengumuman ia dibatalkan adalah sangat tepat,” kata perdana menteri menerusi akaun Twitter beliau. Dalam sidang media pada Jumaat, Mas Ermieyati memberitahu pelaksanaan Imams, yang merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, bertujuan menutup ruang penipuan pakej umrah di negara ini. Antara lain, Imams mengenakan caj tertentu yang menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat kerana dilihat akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.