suria

Peserta Separa Maraton Meninggal Dunia

KUANTAN: Seorang peserta acara separa maraton sempena penganjuran Karnival Mini Bentong di Bentong dekat sini hari ini, meninggal dunia kira-kira lapan kilometer sebelum menamatkan lariannya.

Pemangku  Ketua Polis Daerah Bentong DSP Zainuddin Abdul Hamid berkata mangsa Liew Ah Peh, 71, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung berhampiran Kampung Dabung, pukul 9.20 pagi.

Mangsa yang  menyertai acara larian sejauh 21 kilometer bersama-sama beberapa rakan memulakan larian pada pukul 6.30 pagi tetapi Liew yang dalam perjalanan ke garisan penamat  berehat sebentar  berhampiran Kampung  Dabung  selepas mengadu kepenatan.

"Dia kemudiannya difahamkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia," katanya semasa dihubungi di sini, Sabtu.

Zainuddin berkata mangsa yang berasal dari Kuantan dimaklumkan aktif menyertai acara larian.

Mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Zainuddin berkata penganjuran acara larian itu juga mendapat kelulusan dan pelepasan peserta dilakukan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Anggota Parlimen Bentong.

Bagaimanapun, karnival anjuran Majlis Perbandaran Bentong yang dijadualkan berlangsung sehingga tengah malam ini, dibatalkan bagi menghormati pemergian mangsa.-Bernama

Maut, Serangan jantung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mekanisme Baharu Ganti Imams

Artikel Lain