KUALA LUMPUR: Jessica (bukan nama sebenar) berhijrah dari Filipina ke Malaysia demi mengubah nasib hidupnya. Graduan yang berusia 22 tahun itu dijanjikan gaji bulanan bernilai RM2,000 oleh seorang ejen yang berpangkalan di Filipina untuk mendapatkan sebuah pekerjaan yang selesa sebagai kerani pejabat di negara ini. Jessica yang pernah bekerja sebagai seorang jurulatih pembangunan peribadi di sebuah kolej di Luzon, Filipina terpaksa membayar yuran pendahuluan sebanyak RM2,500 kepada ejen tersebut. Perjanjian asal adalah permit bekerja untuk tempoh dua tahun di Malaysia yang bernilai RM10,000 akan ditanggung sama rata oleh Jessica dan bakal majikannya. Dia perlu membayar sebanyak RM5,000 secara ansuran iaitu RM500 sebulan yang akan ditolak daripada gaji bulanannya. Tanpa dia sedari, mimpi ngerinya pun bermula. Pemandangan bandaraya Petaling Jaya. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia dibawa kepada majikannya yang kemudian memberitahu Jessica perlu melakukan tiga pekerjaan iaitu seorang pelayan, penyambut tetamu dan kerani di tiga lokasi berbeza. "Saya dibawa ke Puncak Alam di Shah Alam untuk bekerja sebagai seorang kerani. Selepas beberapa tempoh, saya dipindahkan ke Petaling Jaya, Selangor dan Johor Bahru, Johor untuk bekerja sebagai penyambut tetamu dan pelayan. "Saya rasa tertipu," katanya kepada The Star sewaktu ditemu ramah di ibu pejabat Tenaganita pada Isnin sempena majlis memperingati Hari Migran Antarabangsa. Selepas dipaksa bekerja selama 12 jam sehari dan tujuh hari seminggu, majikannya langsung tidak membayar gaji kepada Jessica seperti yang dijanjikan sebelum ini. "Saya tidak menerima bayaran. Saya tanya kepada bos, mana gaji saya, tapi dia sering memberi janji palsu yang gaji saya akan dimasukkan ke dalam akaun. "Saya turut tanya tentang permit kerja sebab saya tahu perbuatan bekerja di Malaysia tanpa permit adalah salah disisi undang-undang. Tapi dia asyik ulang 'bulan depan'," ujar Jessica. Jessica turut terpaksa melupakan kebersihan dirinya kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi. "Saya dan rakan serumah hanya makan sekali sehari dan tiada wang untuk beli shampoo," kata Jessica. Sementara itu, kisah hampir sama turut diceritakan oleh Anne (bukan nama sebenar), 23, yang juga pemegang ijazah sarjana muda di Filipina dan merupakan rakan serumah kepada Jessica. "Saya merupakan bekas guru sekolah rendah di Filipina. Rakan sekerja yang mengesyorkan pekerjaan di negara ini dan dia juga berada dalam situasi yang sama (memiliki tiga pekerjaan). "Dia berada di Malaysia dan tidak dibayar gaji," ujar Anne. Anne kemudiannya menghubungi ibu saudaranya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Hong Kong. Tenaganita merupakan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia. "Mak cik saya memberitahu bahawa apa yang berlaku ini adalah tidak normal. Jadi, dia merujuk saya kepada Tenaganita." Kemudian, seorang jurucakap daripada Tenaganita mendekati Anne dan Jessica untuk menyelamatkan mereka. "Tenaganita memberitahu kami bahawa waktu bekerja itu langsung tidak normal dan setiap pekerja asing layak mendapat hari rehat." Jessica dan Anne kini menetap di rumah perlindungan Tenaganita yang terletak di Petaling Jaya. Tenaganita kini bertindak sebagai orang tengah antara mangsa dan majikan mereka bagi mendapatkan gaji mereka yang tertunggak. "Saya harap gaji saya akan diberikan supaya saya dapat pulang ke Filipina untuk menyambut Krismas. Saya amat merindui ibu dan Krismas adalah perayaan yang penting untuk keluarga kami berkumpul kerana hari ulang tahun ibu jatuh sehari sebelum Krismas," kata Jessica.