PETALING JAYA: Kisah mengenai seorang pendidik yang dikenali sebagai Cikgu Azizan telah menarik perhatian ramai hingga menghangatkan negara ini sejak beberapa hari lalu. Kekecohan mula memuncak apabila netizen bersatu hati menyelar dakwaan yang dibuat oleh pihak ibu bapa pelajar terhadap Cikgu Azizan dan mengheret guru tersebut ke mahkamah. Tidak terkecuali, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut mengeluarkan kenyataan seolah-olah 'merestui' tindakan kumpulan guru yang ingin menyatakan sokongan terhadap Cikgu Azizan. "Saya tiada halangan sekiranya warga guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah. "Setiap individu mempunyai hak tersendiri untuk menyatakan sokongan terhadap rakan mereka sendiri dan isu kehadiran di mahkamah ini adalah hak peribadi masing-masing," katanya menerusi 'posting' yang dimuat naik di Facebook pada petang Isnin. Tambah beliau, sesiapa juga akan menghadirkan diri untuk memberikan sokongan sekiranya perkara tersebut berlaku ke atas rakan mereka, termasuklah golongan guru. Sementara itu, pengguna Facebook, Hasnida Mat Isa berkata, dia berharap ada akta di negara ini yang boleh melindungi hak guru. "Soal keselamatan kami... guna kenderaan sendiri untuk acara ko-kurikulum, jadi kemalangan... kami yang akan disaman. "Membantu anak-anak didik dari menjadi mangsa sumbang mahram... silap hari bulan... kami juga mungkin disaman. Jadi, harap sangat Datuk (Mahdzir) berbuat sesuatu," katanya. Manakala, Norhayati Ab Wahab pula berkata, guru di negara ini mahu mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang isu tidak menyediakan khidmat guaman dalam kes membabitkan Cikgu Azizan. "Kenapa KPM tidak menyediakan khidmat guaman membela Cikgu Azizan, sebaliknya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang bertindak membela?" soalnya. Terdahulu Bernama melaporkan, KPM berharap segala permasalahan yang timbul di sekolah khususnya antara guru dan pelajar dapat diselesaikan secara muafakat dan tidak dibawa ke mahkamah, kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon. Beliau berkata sebarang permasalahan boleh diselesaikan menerusi jawatankuasa permuafakatan di sekolah yang berfungsi sebagai platform perbincangan.