suria

Tular Buat Charisa Takut!

PETALING JAYA: Selepas kisahnya tampil berkeyakinan, sekaligus menyerlahkan kejelitaan di sebalik wajah yang dipenuhi jerawat tular hingga mendapat perhatian media antarabangsa, Charisa Debully Francis mengakui emosinya sedikit terganggu gara-gara kecaman netizen.

Memandangkan gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu tidak mampu mengawal reaksi netizen, situasi berkenaan membuatkan dia takut dengan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadapnya.

"Sejujurnya, saya rasa takut sebab selepas kisah saya dimuat naik, ia membuatkan saya lebih dikenali, tetapi ramai pula meninggalkan komen yang tidak bagus.

"Contohnya, mereka bertanya seperti 'apa motif dia viral?', 'kenapa dia viral?', 'dia berjerawat, kenapa viral?'. Bagi saya, kenapa nak tengok sudut yang negatif?," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Kisah mengenai Charisa turut dilaporkan oleh United News International pada 13 Oktober lalu selepas kisah mengenai dirinya mula didedahkan oleh mStar Online.

Tambah gadis berusia 18 tahun itu, pelajarannya turut terganggu kerana tidak dapat menerima komen berbaur negatif itu disaat dia sedang menghadapi peperiksaan.

Selepas tular pada Oktober lalu, gadis yang mesra dipanggil Chacha itu cuba membiasakan diri dengan situasi tersebut terutama apabila ada individu yang mengajaknya bergambar.

Jumlah pengikut di laman Instagram pelajar tahun satu Diploma Muzik (Piano) di Institut Seni Sabah itu juga turut meningkat daripada 15,000 kepada lebih 28,300 dalam tempoh dua bulan.

Tambahnya, biarpun ada pihak yang tidak senang dengan populariti yang diraihnya, masih ramai yang menyokong dan menganggap dirinya sebagai sumber inspirasi.

"Ramai yang menghantar pesanan peribadi bertanyakan tentang cara untuk meningkatkan keyakinan diri dan sekarang ada lebih 1,000 mesej lagi belum sempat dibalas.

"Mereka tanya apa produk yang saya pakai kerana kulit sudah bertambah baik dan ramai juga yang minta saya buat reviu produk mereka, tapi kulit saya sensitif. Jadi, saya tidak berani untuk ambil produk sembarangan," jelasnya.

Wajah Chacha yang terkini. - Instagram/@charisafranc

Kata anak kepada pensyarah teologi itu, keadaan kulitnya semakin baik kerana menggunakan set penjagaan wajah dari Korea.

Bagaimanapun, Chacha enggan memberi jaminan terhadap keberkesanan produk tersebut kerana berpendapat setiap individu mempunyai masalah kulit yang berbeza.

Terdahulu, mStar Online pada 8 Oktober lalu melaporkan tentang seorang pelajar dari Sabah menjadi popular kerana tanpa segan silu menunjukkan keadaan muka tanpa sebarang teknik suntingan untuk menutup jerawat yang memenuhi wajahnya.

Chacha berhenti mempedulikan kata-kata ejekan masyarakat terhadap keadaan wajahnya dan memutuskan untuk memberikan inspirasi kepada gadis yang mengalami masalah sama agar tampil yakin dengan diri sendiri.

Charisa Debully Francis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Saya Kecewa 10 Saat Sahaja”

Artikel Lain