SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun ditahan selepas dipercayai mencabul cucu tirinya. Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Choo Lily berkata, bapa kanak-kanak berusia lima tahun itu mengesyaki sesuatu tidak kena apabila memandikan anaknya selepas mengambilnya pulang dari rumah datuk tirinya itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin lalu. Bapa kanak-kanak itu berkata anaknya turut mengadu sakit di bahagian kemaluannya. Malah mangsa mendakwa suspek menyentuh dan memasukkan sesuatu ke dalam kemaluannya. Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Polis menahan suspek di rumahnya pada Selasa lalu dan mendapatkan perintah reman selama tujuh hari terhadapnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.