suria

Ada Apa Di Taif

ASSALAMUALAIKUM. Taif, bandar kecil yang terletak di bahagian barat Arab Saudi menjanjikan udara nyaman dan dingin.

Sejak kebelakangan ini, sebahagian besar jemaah umrah dan haji merebut peluang untuk ke kota Taif kerana semakin banyak pengendali umrah menawarkan pakej ke pusat peranginan itu yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam menaiki bas dari kota suci Makkah.

Kedinginan juga menyebabkan Taif begitu popular kerana menghasilkan buah-buahan segar terutama anggur, delima buah zaitun, bunga mawar dan madu. Cuaca panas kering di Makkah selalunya menarik perhatian ramai untuk berkunjung ke kota Taif ketika musim cuti dan panas.

Suatu ketika dahulu, jemaah umrah sangat jarang berpeluang ke Taif. Hasrat saya dan sekumpulan jemaah umrah untuk ke kota itu pernah terbatal kerana tidak memperolehi permit pada 2008. Namun, Alhamdulillah, bermula 2015 saya berpeluang ke sana bersama-sama jemaah umrah dan haji.

Ramai yang tanya apa yang menarik di Taif? Selain buah-buahan dan udaranya yang segar, jemaah teruja ke sana kerana ingin menjejak perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. Dakwah Rasulullah di Taif bermula setelah mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy.

Ketika itu juga, Rasulullah dirundung duka setelah bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri tercinta, Khadijah r.a. kembali ke rahmatullah. Ditemani Zaid Haritsah, Rasulullah menuju ke Taif yang berjarak tidak sampai 100 km dari kota Makkah.

Baginda Rasul menyangka penduduk Taif dapat menerima kehadiran beliau tetapi tanpa disangka mereka menolak serta mencemuh baginda Rasul. Akhirnya, Rasulullah kembali ke Makkah dan seterusnya berhijrah ke Madinah.

Lazimnya, agensi pengendali umrah akan maklumkan kepada jemaah mengenai kunjungan ke Taif. Caj dikenakan adalah SR130 hingga SR150 seorang, yang merangkumi lawatan ke beberapa tempat bersejarah dan makan minum kerana perjalanan ke Taif selalunya sehari suntuk.

Destinasi lawatan termasuk, Masjid Abdullah bin Abbas, kebun Addas, Masjid Kuk atau dikenali sebagai masjid siku, al-Qantarah dan al-Madhun, rumah Abdullah bin Abbas, Muzium As-Shariff, kilang minyak wangi, pasar buah dan Masjid Qarnul Manazil.

Ketika berkunjung ke Taif pada musim haji baru-baru ini, saya ke Masjid Abdullah bin Abbas, iaitu sepupu Rasulullah. Di situ juga terletak makam Abdullah dan syuhada Taif. Jemaah selalu diberi masa bersolat sunat. Berhampiran masjid itu juga terletak sebuah perpustakaan tetapi jarang dibuka. Saya juga hanya berpeluang masuk ke perpustakaan itu ketika kunjungan tahun lalu.

Selepas itu jemaah dibawa ke kebun Addas, yang suatu ketika dahulu ditanami anggur dan delima. Addas, beragama Nasrani berasal dari Iraq. Ketika Rasulullah berkunjung ke Taif, Addas memberi anggur kepada Nabi Muhammad.

Ketika hendak makan, Rasulullah membaca Bismillah sehingga menyebabkan Addas terkejut kerana tidak pernah mendengar ucapan itu lantas bertanya agama Rasulullah. Sejurus Rasulullah mengatakan Islam, Addas merangkul dan mencium tangan baginda dan seterusnya memeluk Islam.

Addas adalah orang pertama di Taif yang memeluk Islam. Setelah ke kebun Addas, anda akan dibawa ke Masjid Kuk atau masjid siku. Difahamkan, penduduk Taif tidak suka tempat itu menjadi tumpuan pengunjung justeru mereka pernah membakarnya sebanyak tiga kali.

Dipercayai tempat itu yang terletak di kawasan al-Maznah menjadi lokasi Rasulullah berehat dan melarikan diri daripada golongan musyrikin yang akhirnya melontarkan batu-batu besar di kawasan itu kepada Rasulullah. Namun, difahamkan malaikat menahan batu itu daripada terkena baginda Rasul.

Jemaah kemudiannya dibawa pula ke Al-Qantarah dan Al-Madhun iaitu titik air yang dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniah.

Lokasi seterusnya ialah rumah Abdullah bin Abbas. Rumah itu terletak kira-kira 2.7 km dari masjid Abdullah bin Abbas. Difahamkan bapa saudara Rasulullah itu berjalan setiap hari untuk ke masjid berkenaan.

Melepaskan penat dan mengisi perut, kami ke Muzium As-Shariff dan seterusnya menikmati hidangan tengah hari. Kilang minyak wangi ros paling menjadi tumpuan khususnya jemaah wanita yang berebut-rebut membeli bedak, losen dan haruman.

Tidak lengkap ke Taif jika tidak ke pasar buah. Justeru, ramai jemaah yang memborong buah zaitun, anggur, delima dan limau. Sebelum berangkat pulang semula ke Makkah, jemaah dibawa ke Masjid Qarnul Manazil dan di situ menjadi tempat miqat bagi jemaah yang mahu menunaikan umrah.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Taif, Masjid Qarnul Manazil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain