suria

Dua Remaja Bawah Umur Dijadikan Keldai Dadah

Ab Rashid (dua, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Khamis. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki dan perempuan, masing-masing berusia 16 dan 14 tahun adalah antara 19 individu warga tempatan yang ditahan polis di sekitar Lembah Klang minggu lepas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah menggunakan keldai dadah.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kesemua mereka yang berusia 14 hingga 39 tahun termasuk dua perempuan diberkas pada 13 dan 14 Disember lalu di beberapa lokasi termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pada 13 Disember lalu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang lelaki berumur 39 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika memasuki balai pelepasan ke luar negara di KLIA, katanya pada sidang media di sini Khamis.

Katanya pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek menyorokkan 16 bungkusan plastik berisi syabu seberat 4.2 kilogram (kg) bernilai RM292,348 dengan mengikat dan melekatkan masing-masing lapan bungkusan dadah pada paha dan betis mereka.

“Remaja berkenaan tidak bersekolah sementara lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu restoran disyaki mahu menaiki penerbangan ke Taiwan,” katanya.

Ab Rashid berkata susulan tangkapan itu, pihaknya memberkas seorang lelaki tempatan disyaki anggota sindiket pengedaran dadah terbabit di sebuah hotel terkemuka di Damansara, Petaling Jaya pada 1 pagi 14 Disember dan merampas 1.5 kg syabu.

Polis kemudian menyerbu sebuah lagi hotel di kawasan sama dan berjaya merampas 2.3 kg syabu serta 156 gram ketamin dengan kesemua rampasan dalam kedua-dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM273,660.

Katanya siasatan lanjut membawa kepada penahanan 16 lagi anggota sindiket itu termasuk seorang remaja perempuan berumur 14 tahun di sebuah pangsapuri di Cheras dan beberapa buah rumah di Petaling Jaya.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas dan menyasarkan golongan bawah umur sebagai keldai dadah.

“Modus operandi mereka ialah mengikat dadah pada badan serta menggunakan hotel sebagai tempat balut dan bungkus dadah selain menggunakan rumah transit untuk persediaan anggota sindiket sebelum ke luar negara,” katanya.

Beliau juga berkata polis masih lagi dalam proses mengenal pasti anggota sindiket dan keldai dadah dalam kalangan yang ditahan berkenaan.

Dua suspek lelaki yang ditahan pada 13 Disember lalu ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 12 termasuk wanita dan remaja perempuan terbabit yang ditahan pada 14 Disember direman sehingga Rabu depan, juga disiasat mengikut seksyen sama.

Baki lima lagi lelaki akan dikenakan tindakan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985, katanya. - BERNAMA

keldai dadah

Artikel Sebelum

Hutang Punca Dibunuh Kejam

Artikel Berikut