suria

Amah Larikan Duit Majikan RM31,000

PUTRAJAYA: Seorang pembantu rumah dipercayai melarikan wang majikannya berjumlah RM31,000 dalam kejadian di Presint 14, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan (gambar) berkata majikannya seorang wanita berusia 64 tahun hanya menyedari perkara itu selepas bangun dari tidur pada pukul 4 petang.

Menurutnya mangsa yang merupakan seorang pesara pada mulanya mendapati pembantu rumah tersebut yang dikenali sebagai Dasirah, tiada di dalam biliknya di tingkat bawah.

"Baju dalam almari pembantu itu juga didapati berkurangan, dipercayai sudah pun meninggalkan rumah.

"Pengadu kemudian memeriksa bilik anak lelakinya dan mendapati mata wang US$7,000 (RM28,536) sudah hilang, selain wang tunai RM3,000 yang diletakkan di dalam laci meja solek di bilik anak perempuannya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Rosly berkata mangsa memaklumkan setiap bilik di rumah itu tidak berkunci dan rumah berkenaan juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, maklumat mengenai suspek sudah diperoleh dan pasport suspek masih dipegang oleh ejen bagi tujuan pembaharuan permit.

Berikutan itu, Rosly berkata polis sedang mencari Dasirah yang merupakan wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan.

pembantu rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain