suria

Gambar ‘Kahwin’ Adamdidam Buat Netizen Patah Hati

PETALING JAYA: Akhir tahun sering menjadi pilihan pengantin untuk melangsungkan perkahwinan kerana ia dirasakan waktu terbaik untuk menghimpunkan sanak saudara dan kenalan rapat bagi meraikan hari bahagia.

Ketika tinggal lapan hari sahaja lagi tahun 2017 melabuhkan tirainya, selebriti media sosial, Chef Adam Mahamed Ismail, 28, mengejutkan pengikut setia laman Instagramnya apabila memuat naik sekeping gambar perkahwinan bersama seorang wanita jelita.

Netizen mula membanjiri ruang komen untuk mengucapkan tahniah kepada chef selebriti berkenaan yang lebih dikenali sebagai Adamdidam itu atas majlis perkahwinannya.

Tidak kurang juga terdapat pengikut seakan tidak percaya bahawa chef tampan itu sudah mendirikan rumah tangga, seterusnya patah hati selepas melihat gambar tersebut dimuat naik.

Komen netizen yang 'patah hati' terhadap gambar yang dimuat naik oleh Adam pada petang Sabtu

Adam yang berada di Bangkok, Thailand ketika dihubungi mStar Online berkata, pengantin perempuan di dalam gambar itu sebenarnya adalah sepupunya, bukan isterinya seperti yang disangka netizen.

"Baru sahaja muat naik, terus netizen anggap saya yang kahwin.

"Orang membuat kesimpulan berdasarkan sekeping gambar tanpa membaca keterangan gambar. Saya tulis panjang-panjang, sekali orang ucap tahniah," ujarnya yang hadir ke majlis tersebut bersama ibu bapanya.

Jelas Adam, dia tidak sempat untuk bergambar bertiga dengan pengantin lelaki yang kebetulan pada waktu itu terpaksa naik ke bilik untuk menyimpan barang.

Jelasnya, pengantin perempuan, Watini Khan, 30, itu melangsungkan majlis akad nikah pada pagi Sabtu di Hotel Al Meroz, Bangkok.

"Mungkin orang tak tahu dan ingat saya kahwin lari di Thailand.

"Mungkin juga orang terlepas pandang yang saya mempunyai darah kacukan Siam sebelah ibu. Separuh daripada keluarga besar saya memang menetap di Bangkok," jelasnya yang turut berada di sana atas urusan kerja.

Sepupu Adam, Watini melangsungkan perkahwinan di Hotel Al Meroz, Bangkok pada pagi Sabtu.

Tambah Adam, dia berharap netizen cuba untuk memahami keseluruhan situasi sebelum membuat kesimpulan hanya melalui sekeping gambar.

Baginya, perbuatan itu akan menyebabkan fitnah tanpa mereka sedari.

Dalam perkembangan lain, Adam masih terlibat dengan penggambaran program televisyen Hero Oven dan berada dalam golongan lapan peserta terbaik.

Pemuda yang mempunyai lebih 247,000 pengikut di Instagram itu juga sedang dalam rundingan untuk muncul dalam sebuah program masakan di Thailand pada Januari 2018.

Adamdidam, kahwin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain