PETALING JAYA: Pernah ditolak berkali-kali dalam pekerjaan dan percintaan kerana berbadan besar, seorang wanita tidak menyangka dia dilamar seorang jejaka tampan dari Maghribi. Kisah perkenalan mereka berputik pada Oktober tahun lalu semasa Aiffa Syakirin Abd Majid, 25, menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing GrabCar. Wanita tersebut yang ketika itu masih menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berketurunan Cina berkenalan dengan Badr Kebdani, 39, yang ingin menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum kembali ke negara asalnya. Kata wanita yang mesra dipanggil Kak Bab ini, selepas tiga hari menghantar lelaki tersebut, dia menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp daripada Badr yang ingin berkenalan dengannya. "Ketika itu hubungan saya dengan teman lelaki sudah terjalin selama enam tahun. Tapi, ada masalah perbezaan agama antara kami yang membuatkan ia tidak dapat diteruskan. "Badr pula bukan jenis yang gemar menghantar mesej romantis dan jarang berborak melalui telefon. Jadi, saya agak ragu-ragu bila dia menyatakan hasrat ingin melamar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad. Posting wanita yang berasal dari Johor Bahru itu menerusi akaun Instagram @missjumboqueen pada 19 Disember lalu menerima lebih 12,000 'likes' dan 515 komen yang rata-ratanya terharu dengan kisah cinta mereka. Mengimbau kenangan pahit ketika permohonannya untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai seorang kerani tidak lama dulu, Aiffa Syakirin tersentak apabila diberitahu: "Pejabat saya tidak besar untuk menggajikan orang macam awak." Aiffa Syakirin berkenalan dengan Badr sekitar Oktober tahun lalu. Namun, kata-kata tersebut tidak melunturkan semangat wanita yang memiliki berat badan 180 kilogram itu yang akhirnya memilih untuk menjadi seorang pengasuh dan pemandu GrabCar secara sambilan. Tambah bekas pelajar lulusan Teknologi Maklumat (Perniagaan) dari Kolej Antarabangsa YPC ini, kesungguhan suaminya untuk menyunting dirinya menjadi isteri membuatkan seisi keluarga terharu. Lelaki itu sanggup terbang dari Morocco pada 30 Oktober lalu dengan membawa sekeping surat yang mengesahkan status dirinya sebagai seorang lelaki bujang bersama sejumlah wang hantaran. "Saya terkejut juga sebab dia betul-betul serius nak mengahwini saya. Siap datang bawa wang hantaran kerana dia ingat boleh terus kahwin di pejabat kadi di sini. "Kami sekeluarga terangkan kepada dia bahawa negara ini ada beberapa prosedur yang harus dipatuhi sebelum meneruskan majlis perkahwinan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar," ujarnya yang kini membuka restoran Restumu Ikan Bakar di Rohaizat Mall Taman Ungku Tun Aminah di Skudai, Johor. Sementara itu, suaminya bercadang untuk mencari pekerjaan di negara ini untuk memulakan hidup bersama Aiffa Syakirin. Sebelum ini, pemuda itu merupakan seorang petani sepenuh masa yang menguruskan ladang sendiri di Maghribi.