suria

KDN Anjur Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 yang akan membincangkan isu-isu keselamatan antarabangsa.

PISD 2018 yang bertajuk 'Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan' diadakan dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Arab Saudi.

Menurut kenyataan KDN pada Khamis, menteri dan timbalan menteri dari 20 negara termasuk Arab Saudi, Australia, Britain, Perancis dan Indonesia dijangka membentangkan pernyataan negara masing-masing pada dialog dua hari itu yang bermula 5 Jan di sebuah hotel di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual menyampaikan ucap tama pada hari kedua dialog itu.

Empat sidang pleno diadakan meliputi perbincangan seperti Islam sebagai Wadah Kesederhanaan dan Keselamatan; Bersama Menentang Keganasan; Peranan Agama dalam Menyemai Nilai-Nilai dan Kesederhanaan; serta Membanteras Keganasan Secara Kebijaksanaan dan Kemanusiaan.

Dijangkakan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai dialog itu termasuk para pegawai kanan kedutaan dan pesuruhjaua-pesuruhjaya tinggi luar negara di Kuala Lumpur.

Turut serta adalah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, para pegawai kanan kerajaan dan penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.

Dialog antarabangsa itu bertujuan mengenengahkan Malaysia sebagai negara yang moden dan progresif serta berada di garisan depan dalam membanteras keganasan.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kering Hati Pandu Lawan Arus

Artikel Lain