suria

Hikmah Viral ‘Abang Kopiah’

Muhamad Subki (kanan) merupakan Ketua Lajnah Pemuda Masjid Al Ehsan yang aktif dengan aktiviti kebajikan. - Facebook/Subki Shaari

PETALING JAYA: Selepas kisahnya menegur pemandu kereta yang membuang botol minuman di luar kenderaan tular di media sosial, tempias populariti yang dialaminya ternyata membawa hikmah besar buat 'Abang Kopiah'.

Tindakan tersebut yang sempat dirakam oleh seorang rakannya itu telah menjadi bualan netizen yang kagum dengan keberaniannya menegur pengguna jalan raya lain supaya tidak membuang sampah merata-rata.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Cakap 'No' Saja!”

Kerana Sampah, ‘Abang Kopiah’ Jadi Popular!

Muhamad Subki Shaari, 36, berkata, selepas kes tersebut tular kehidupannya berjalan seperti biasa, namun hikmah yang tersembunyi adalah dia boleh membuat kebajikan dengan lebih mudah selepas dikenali.

"Banyak komen positif yang saya terima dan ada juga yang ajak bergambar ketika saya menyampaikan ceramah agama di masjid-masjid.

"Saya akui program-program kebajikan juga menjadi mudah untuk dilaksanakan," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Muhamad Subki juga sering dijemput untuk menyampaikan ceramah agama.

Tambah penceramah bebas itu, dia dan warga Masjid Al Ehsan Bandar Kinrara berjaya mengumpul wang sumbangan daripada penduduk sekitar dan orang awam untuk menyampaikan kit 'Kembali Ke Sekolah 2018' yang berupa barangan keperluan sekolah.

Beliau yang juga ketua Lajnah Pemuda masjid tersebut berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan asnaf yang tidak berdaftar dengan badan zakat.

"Mereka tidak berdaftar dengan badan zakat bukan kerana mereka tidak berkemampuan, tapi ada keluarga yang tidak cukup peruntukan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Jadi, apa salahnya kami membantu meringankan beban mereka," ujarnya.

Pada Oktober lalu, Muhamad Subki tiba-tiba popular selepas dia tanpa teragak-agak bertindak menegur seorang pemandu yang membuang botol minuman di luar kenderaannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bapa kepada empat cahaya mata itu dirakam bertindak spontan mengambil botol minuman yang dipercayai diletakkan oleh pemandu terbabit di tepi pintu keretanya lalu menghulurkan kembali botol tersebut kepada pemandu berkenaan kerana perbuatan itu jelas tidak bertanggungjawab.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain