suria

Hargai Bantuan Selamanya

Arbi bersama Nor Hamizah dan anak kesayangan mereka, Athea Sofea yang kini berusia dua tahun.

PETALING JAYA: Arbi Suffian Rozlan berada di tempat kerja sewaktu dia menerima panggilan telefon daripada isterinya.

Nor Hamizah Hashim baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital kerajaan.

Beberapa hari sebelumnya, dia berasa kurang sihat dan membuat keputusan untuk merujuk doktor. Kegusarannya bertukar gembira apabila disahkan hamil.

Dia lantas berkongsi berita gembira itu dengan suaminya. Arbi yang teruja dengan perkhabaran itu terus bergegas pulang ke rumah.

"Kami disatukan pada 2013. Saya memang teringin untuk menjadi seorang bapa. Akhirnya, Allah makbulkan doa saya.

"Bayi kami dijangka lahir pada Februari 2016. Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku," ujar Arbi.

Sekitar November 2015, dia menerima panggilan mengejut dari pihak Hospital Sungai Buloh.

Dia tidak menyangka bahawa isterinya yang hamil enam bulan ketika itu terpaksa bersalin awal.

Anak mereka, Althea Sofea dilahirkan pramatang. Menurut doktor, Althea hanya mempunyai peluang 50-50 untuk hidup.

Hamizah melahirkan Althea sewaktu kandungannya memasuki usia 25 minggu. Sewaktu dilahirkan, Althea hanyalah seberat 800 gram.

"Jururawat di hospital menggelar Altha sebagai bayi ajaib. Doktor pun sudah pesan kepada kami supaya bersedia dengan apa-apa kemungkinan kerana peluangnya untuk hidup sangat tipis.

"Dia diletakkan di unit rawatan rapi neonatal untuk pemerhatian lanjut. Ada satu ketika, jantungnya berhenti berdegup.

"Kami tidak pernah putus berdoa. Dalam tempoh dua bulan, hidup kami ibarat mimpi ngeri. Dia boleh pegi bila-bila masa sahaja," ujar Arbi.

Menurut Arbi lagi,keadaan Altha semakin baik setelah tiga bulan dilahirkan. Bayi itu juga dikhabarkan sudah boleh pulang ke rumah.

Namun, masalahnya mereka terpaksa menanggung kos rawatan hospital yang mencecah lebih RM60,000 dan ia ternyata membebankan dirinya.

"Kami membuat permohonan dengan pihak berwajib dan menghantar rayuan kepada kerajaan untuk memberi subsidi caj berkenaan.

"Akhirnya, kami hanya perlu membayar sekita RM500 sahaja. Ianya satu kelegaan buat kami. Tiada kata mampu mengungkapkan kesyukuran kami," luah Arbi.

Kini, anak gadisnya sudah berusia dua tahun.

Althea seorang kanak-kanak yang sihat dan ceria. Namun, dia masih perlu berulang alik ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

"Doktor mahu pastikan dia 100 peratus sihat sebelum usianya menjengah empat tahun.

"Beberapa jururawat turut mengambil Althea sebagai anak angkat mereka," ujar Arbi yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Dia juga menasihati sesiapa yang melalui kesusahan sepertinya agar tidak berputus asa.

Katanya, Malaysia adalah negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bagus.

"Kita patut berasa bangga dengan hospital kerajaan dan klinik serta doktor, jururawat dan kemudahan yang disediakan untuk rakyat.

"Saya terhutang budi dengan kakitangan Hospital Sungai Buloh. Tanpa mereka, anak kesayangan saya pasti tidak bersama dengan saya hari ini," ujarnya.

Kisah Arbi merupakan salah satu kes yang mendapat subsidi bil perubatan dari pihak kerajaan.

Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan dana untuk menyediakan perkhidmatan kesiahatan yang berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, sektor kesihatan turut menerima beberapa tambahan peruntukan menerusi Bajet 2018.

Antaranya ialah RM4.1 bilion untuk bekalan ubatan, RM90 juta untuk haemodialisis dan tabung perubatan, RM50 juta untuk skim insuran kesihatan dan RM40 juta untuk menampung kos perubatan dan rawatan penyakit yang jarang berlaku serta program Komuniti Sihat Perkasa Negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Remaja Melecur Main Pemetik Api

Artikel Lain