PETALING JAYA: Menjaga dua dusun durian di Kampung Sang Lee, Chong Kooi Long memperoleh pendapatan sekadar cukup makan untuk menampung keluarganya. Dia yang berusia 48, bertemu dengan pasangannya, Vivi Tsia, kira-kra 10 tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata berusia tiga, empat dan enam tahun. Kerana kesempitan hidup, Kooi Long tidak sempat menghabiskan persekolahannya. Dia tidak mahu membebankan ibu bapanya. Lantas, Kooi Long mula bekerja. Atas cadangan seorang rakan, dia meninggalkan Malaysia dan pergi ke Singapura. Dia bermula sebagai pembantu dapur sebelum menjadi tukang masak di sebuah restoran. Selepas lima tahun, Kooi Long kembali ke Malaysia dengan sedikit wang simpanan. Sewaktu di kampung halaman, dia membuat kerja sambilan sebelum menjadi jurujual sepenuh masa. "Beberapa tahun lepas, semuanya berubah apabila saya didiagnos dengan jangkitan hati kerana virus heaptitis B. "Doktor kata saya makan banyak makanan mentah sewaktu bekerja di Singapura," ujarnya. Pada mulanya dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik swatsa. Namun, wang simpanannya semakin berkurangan. "Jadi, saya minta doktor untuk tulis surat agar saya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). "Kini saya hanya perlu bayar RM370 sahaja. Dulu sewaktu di klinik swatsa, bil mencecah RM1,000 sebulan," dedah Kooi Long. Menurutnya, dia bersyukur dengan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan berharap agar kerajaan terus membantu mereka yang menghadapi kesusahan sepertinya. Tambahnya lagi, perkhidmatan di PPUM sangat bagus dan setaraf dengan rawatan di pusat perubatan swasta. "Disebabkan keadaan kesiahatan sebegini, saya tidak boleh bekerja dan bergantung pada ubat-ubatan setiap hari sepanjang hayat. Dalam pada itu, Kooi Long berkemungkinan kehilangan kerjanya kerana pemilik dusun memberitahu dia sudah tidak diperlukan kerana tiada lagi durian di situ. Ketua Biro Aduan Awam MCA Raub, Ng Leap Pong berkata, dia akan membantu keluarga Kooi Long. Sementara itu, seorang lagi pesakit turut menghadapi masalah kewangan. Mohd Al-Hafiz Abdul Aziz dari Karak kini hanya mampu terlantar di atas katil dan diuruskan oleh ibu bapanya. Pemuda berusia 31 tahun itu didiagnos menghidap kanser otak dua tahun lalu. Dia sering berulang alik membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur. Pengerusi MIC Pahang, Datuk R. Goonasakaren yang melawat Al-Hafiz berkata, ibu bapa pemuda itu juga perlu menanggung 10 anak. "Saya akan menulis surat kepada pihak kesihatan untuk membantu dari segi caj perubatan Al-Hafiz. Malah, dia juga berhasrat untuk bertemu dengan doktor yang merawat Al-Hafiz bagi mengetahui keadaan sebenar pemuda itu. Buat masa sekarang, dia perlu diberi minum susu khas yang mahal gara-gara keadaan kesihatannya.