suria

Buruh Haram Dedah Ejen 'Pow', Buat Kerja Kotor

Gambar mangsa selepas dihalau oleh tuan rumah dengan alasan sewa bulanan tidak dibayar oleh majikannya.

PETALING JAYA: Kejadian malang yang menimpa rakyat Malaysia yang bekerja sebagai buruh haram di Korea Selatan bagai tidak berkesudahan dan kali ini melibatkan salah seorang mangsa penipuan ejen pekerjaan, rakyat Malaysia.

Faizal (bukan nama sebenar) yang berasal dari Pasir Gudang, Johor tiba di negara itu pada 1 Ogos lalu bersama 10 lagi rakyat Malaysia yang berhasrat mahu mengubah nasib keluarga tanpa mengetahui mereka sebenarnya diperdaya oleh ejen tersebut.

Lelaki berusia 29 tahun itu membayar wang sebanyak RM2,900 kepada seorang ejen di Malaysia selepas termakan janji-janji manis mereka yang memberi jaminan akan menyediakan gaji lumayan, penginapan dilengkapi sambungan internet dan pengangkutan ulang-alik ke tempat kerja.

"Mula-mula sampai di Korea lagi ejen dah 'pow' kami KRW20,000 (RM75) setiap seorang untuk makan nasi goreng di sebuah restoran…tapi dia tidak pulangkan baki dan kami diamkan sahaja sebab baru sampai.

"Itu penipuan pertama, kemudian ejen berjanji nak berikan kami visa kerja. Sebenarnya, Malaysia tidak pernah berdaftar dengan Korea untuk (bekalkan) buruh kasar," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Faizal mendakwa dia diperdaya oleh dua ejen Malaysia sepanjang berada di Korea Selatan.

Faizal mendakwa, ejen tersebut memerlukan tambahan KRW800,000 (RM3,027) daripada mangsa sekiranya mereka ingin mendapatkan visa tersebut.

Kesemua 11 rakyat Malaysia yang dibawa bekerja itu kemudiannya dipecahkan kepada beberapa kumpulan sebelum dihantar ke beberapa lokasi tempat kerja yang berbeza.

"Ejen hantar saya dan tiga lagi kawan di kilang kitar semula plastik dan memaklumkan kami akan dibayar sebanyak KRW1.8 juta (RM6,815) sebulan tidak termasuk kerja lebih masa, waktu bekerja dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, majikan yang baik dan keperluan yang lengkap.

"Kami semua ditempatkan di Incheon dan ejen pesan suruh ambil gambar apabila tiba di stesen bas Incheon yang kononnya akan diberikan kepada majikan untuk memaklumkan yang kami sudah sampai," kata Faizal yang kesal apabila mengetahui sebenarnya gambar mereka digunakan untuk memperdaya mangsa baharu.

Gambar yang digunakan ejen untuk memperdaya mangsa baharu.

Sebaik tiba di kilang kitar semula plastik yang dimaksudkan, Faizal terkejut kerana ia sebenarnya kilang kitar semula sampah domestik dan industri yang memerlukan mereka mengasingkan besi dan aluminium daripada sampah seperti najis, alat ganti lori dan bangkai haiwan.

Rumah yang dijanjikan pula sebenarnya sebuah bilik kecil yang terpaksa dikongsi bersama seramai empat orang dan mereka terpaksa menaiki teksi untuk berulang-alik ke kilang menggunakan duit poket yang dibawa dari Malaysia.

Tambah mengecewakan, keempat-empat mereka tidak dibayar gaji selama sebulan setengah, dianggarkan bernilai KRW2.4 juta (RM9,091) seorang setelah dipaksa bekerja mengasingkan sebanyak 60 tan sampah sehari yang memakan masa selama 10 jam.

Salah satu ruang di kilang kitar semula sampah domestik dan industri tempat mereka dihantar bekerja.

Tidak terhenti di situ, Faizal dan rakan-rakannya dihalau keluar oleh tuan rumah kerana didakwa tidak menjelaskan sewa bilik oleh majikannya.

"Saya rasa itu mungkin taktik majikan nak berhentikan kami tanpa perlu membayar gaji dan ejen hanya pandai suruh kami bersabar tanpa cuba menyelesaikan masalah.

"Kemudian, ejen mencari pekerjaan lain untuk saya di sebuah dobi dengan gaji KRW2 juta (RM7,575) sebulan. Tapi, malangnya gaji yang ditawarkan majikan hanyalah KRW1.4 juta (RM5,307) dan sekali lagi saya tidak dibayar gaji," ujarnya.

Muak dengan keadaan itu, Faizal mendapatkan bantuan seorang sukarelawan Malaysia di Korea Selatan untuk mengemukakan laporan ke pejabat buruh.

"Ejen ugut nak apa-apakan saya selepas dapat tahu saya dah buka kes di pejabat buruh," kata Faizal yang kini sudah pulang ke kampungnya di Pasir Gudang, 13 Disember lalu selepas ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.

Faizal mendakwa turut disekat untuk kembali ke negara tersebut untuk tempoh yang tidak dinyatakan, sekali gus menyukarkan dia dan rakannya yang lain untuk menghadiri sesi sebutan kes di pejabat buruh pada 9 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiada PRK DUN Lepar

Artikel Lain