suria

Buruh Haram Hilang Jari Dapat Perhatian POKB

Sheikh Ahmad Dusuki (kanan) melawat mangsa di rumahnya di Besut, Terengganu pada Selasa.

PETALING JAYA: "Seakan tak percaya dengan apa yang saya lihat depan mata," itu luahan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad 
Dusuki Sheikh Mohamad ketika melawat mangsa buruh haram Korea Selatan di Besut, Terengganu pada Selasa.

Beliau yang pada mulanya ragu-ragu dengan kejadian yang menimpa rakyat Malaysia di Korea Selatan akhirnya tersentuh dengan nasib Aizat (bukan nama sebenar), 23, yang kehilangan empat jari tangan kanannya akibat kemalangan yang berlaku di sebuah kilang besi.

"Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana berdasarkan pengalaman saya setiap kali melawat negara itu, saya tak pernah tahu ada kejadian seperti ini menimpa rakyat kita.

"Sebenarnya perkara ini perlu diambil tindakan oleh Kedutaan Malaysia di Korea Selatan supaya kita ada senarai nama rakyat kita di sana," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Bantu Buruh Haram, Jangan Biar Terkapai-Kapai"

Tambah beliau, pihaknya akan cuba mendapatkan pekerjaan baharu buat Aizat memandangkan pemuda itu sudah mengalami kecacatan kekal.

Menurutnya, pemuda itu turut mendakwa memiliki sijil kemahiran dalam kekompetenan sebagai penjaga jentera yang boleh digunapakai untuk mencari kerja yang sesuai dengan dirinya.

Sijil perakuan kekompetanan sebagai pekerja jentera milik Aizat.

"Dalam POKB ni kita ada Sayap OKB Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menumpukan bantuan untuk golongan yang mengalami kecederaan seperti Aizat.

"Kami turut merancang untuk bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan dan syarikat korporat lain dalam misi kemanusiaan ini," ujarnya.

Beliau dalam masa sama akan melancarkan Misi Tabung Kemanusiaan Rakyat Malaysia Di Korea Selatan bagi membantu semua mangsa melibatkan rakyat Malaysia sama ada mereka sudah pulang ke negara ini atau masih terkandas di sana.

Terdahulu, mStar Online melaporkan beliau yang bersuara agar situasi yang menimpa rakyat Malaysia yang bekerja sebagai buruh haram di Korea Selatan tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa menerima pembelaan sewajarnya.

POKB bersedia menjadi penyelaras yang akan menggerakkan bantuan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan pertolongan dari segi kewangan dan makanan, juga tiket penerbangan untuk membawa mereka pulang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain