suria

Aktivis Tersentak, Keikhlasan Diragui

Syed Azmi bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan sejak empat tahun lalu.

PETALING JAYA: Menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bukan sahaja mulia di sisi agama, malahan ia dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Namun, siapa sangka ia bagaikan ujian buat aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi apabila berdepan situasi ketika membeli-belah barangan keperluan asas buat dua beranak yang baru kehilangan tempat tinggal.

Melalui posting di Facebook miliknya, Syed Azmi berasa putus asa terhadap seorang anak dan ibunya yang dianggap telah mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Aktivis berusia 41 tahun itu mengakui tersentak selepas wanita terbabit meragui keikhlasan dirinya membelikan barangan tersebut hanya kerana beliau menegur sikap mereka yang tidak bijak berbelanja dan gemar membazir.

Status Syed Azmi ini dimuat naik pada Ahad lalu.

"Saya menangis ketika dia bertanyakan soalan itu, lebih-lebih lagi apabila memikirkan bagaimana caranya untuk saya mendidik mereka dan bukannya terlepas cakap dengan perkataan yang bukan-bukan.

"Saya ubat hati dengan berkata bahawa Allah jarang uji saya membantu orang miskin yang bersikap seperti ini. Jadi, saya kekal bersabar kerana tidak mahu saya menjadi miskin adab, saya bayangkan dia seperti ibu saya yang tetap harus dilayan dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Posting tersebut telah dikongsikan sebanyak 6,665 kali dan menerima lebih 12,000 tanda suka sejak ia dimuat naik pada Ahad.

Tegas Syed Azmi, biarpun insiden itu sudah berlaku beberapa tahun lalu dan disifatkan antara pengalaman terburuk yang pernah dilaluinya, beliau berkongsi kisah tersebut bagi mendidik masyarakat agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

Katanya, dia tidak akan sekali-kali menarik balik pemberian yang diberikan kepada golongan asnaf, namun beliau berasa ia tanggungjawab untuk mendidik mereka agar kejadian seperti itu tidak berulang.

Syed Azmi

Artikel Lain