suria

NUTP Rangka 23 Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak (kanan) dan Setiausaha Agung, Harry Tan Huat Hock pada sidang media yang mengumumkan kod etika ibu bapa dan penjaga, Selasa.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan pelaksanaan 23 Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga sebagai panduan kepada ibu bapa dan penjaga ketika berurusan dengan institusi pendidikan seperti sekolah, kolej vokasional, pusat matrikulasi dan Institut Pendidkan Guru.

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata daripada 23 kod etika itu, 15 daripadanya adalah perkara yang perlu dipatuhi manakala bakinya adalah perkara yang perlu dihindari ibu bapa dan penjaga.

“Kod etika ini merupakan garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan penjaga  untuk menjamin kefahaman antara mereka dan pihak institusi pendidikan,” katanya dalam sidang media di Wisma NUTP di sini, Selasa.

Kamarozaman berkata antara cadangan yang diusulkan NUTP adalah ibu bapa dan penjaga  perlu merujuk kepada Pengetua/Guru Besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

Beliau berkata selain itu, ibu bapa dan penjaga turut tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan kemudaratan atas dasar keselamatan.

“Mereka juga tidak boleh menyalahgunakan atau menghantar mesej yang bernada ancaman melalui e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis di media sosial.

“Kita akan serah cadangan ini kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat. Kita hanya cadang, hanya KPM yang berhak kuatkuasa,” katanya.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan NUTP dan Persatuan Guru-guru Malaysia awal tahun ini bagi membincangkan cadangan itu.

Dalam pada itu, NUTP turut menggesa pihak KPM untuk mencetak semula buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru yang telah dicetak kali terakhir pada 1988.

“Buku ini tiada dalam pasaran sekarang, dah habis stok, bila apa-apa isu timbul, guru mungkin memerlukan buku ini,” katanya.-- Bernama

NUTP, kod etika

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain