JOHOR BAHRU: Hanya RM10, tiga sekeluarga dapat menikmati hidangan makanan dan minuman yang dinamakan - Nasi Muafakat Bangsa Johor. Ditawarkan Restoran Ejohng Concept di Taman Sri Pulai Perdana, di sini, ia bertujuan untuk membantu meringankan beban penduduk sekitar negeri ini. Pemilik restoran itu, Mohamad Faizdal Zainal berkata, sambutan yang diterima begitu baik dengan sekurang-kurangnya 800 bungkus dijual setiap hari. Katanya, menu itu yang ditawarkan termasuk nasi dengan lauk ayam, daging dan ikan keli selain sayur. "Pelanggan yang menikmati hidangan di kedai kami juga boleh menambah air sirap atau teh secara percuma," katanya. Faizdal berkata, hidangan ayam dan daging dimasak dengan cara berbeza setiap hari, sama ada masak merah, digoreng, masak kicap, lada hitam atau kari. "Bagi ikan keli pula, ia lebih enak jika dimasak sambal," katanya. Semua hidangan disediakan di dapur restoran itu di Taman Impian Emas di sini. Faizdal juga tidak berkongsi kejayaannya dalam kalangan pelajar universiti tempatan di mana kampus mereka di Shah Alam dan Serdang juga menjual nasi muafakat. "Ada juga beberapa pelajar dari universiti di Kelantan yang membeli rempah buatan sendiri untuk menjual juadah ini di sana," katanya yang mahu membantu anak muda lebih berdikari. Selain itu, Faizdal juga mengekalkan dapur pusatnya di Putrajaya untuk menyiapkan nasi muafakat untuk premis di Precint 13, juga pelajar Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia. Selain itu, pihaknya juga mengagihkan makanan percuma kepada kira-kira 200 gelandangan di Komtar JBCC dan Bazar Malam JB setiap Jumaat dan Sabtu dari tengah malam hingga pukul 4 pagi.