suria

Cuaca Eropah ‘Singgah’ Ke Malaysia

Pemandangan di Genting Highlands ketika cuaca sejuk.

GENTING HIGHLANDS: Dengan suhu sejuk dan kabus tebal yang dapat dilihat, anda akan berasa seperti berada di Eropah pada musim sejuk.

Realitinya anda bukan di Eropah, sebaliknya hanya berada Genting Highlands, kira-kira satu jam perjalanan dari Lembah Klang.

Pengunjung dan pelancong berkumpul di sini pada hujung minggu untuk menikmati suasana ‘musim sejuk’ di negara tropika, sambil membeli-belah.

Dengan suhu jatuh serendah 14°C hingga 16°C di tanah tinggi ini, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk memakai pakaian musim sejuk yang pastinya tidak akan dipakai di rumah.

Akauntan Alan Kua, 32, yang datang ke sini dari Kuala Lumpur bersama isterinya, Hui Nee, 32, dan anak perempuan yang berusia tiga tahun, Laeticia, berkata mereka memang sukakan cuaca sejuk.

"Memandangkan ia cuti hujung minggu, kami merancang untuk datang ke Genting. Kami sukakan cuaca sejuk dan lebih mudah untuk kami membeli-belah dan berjalan-jalan.

"Tahun Baru Cina pun dah dekat, kami juga berbelanja di sini," katanya, Sabtu.

Pada Khamis, Lembah Klang mengalami cuaca paling sejuk dengan suhu mencecah hingga 21° C.

Jabatan Meteorologi berkata ini disebabkan oleh kesan monsun timur laut, menyebabkan langit mendung, hujan lebat dan angin sejuk.

Pegawai polis Mohd Farhan Jamion, 35, memandu dari Ipoh bersama isterinya, Suhanita Hussain, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun, Muhammad Izz Ferriz.

"Saya sangat sukakan cuaca sejuk dan akhirnya kami boleh menggunakan jaket musim sejuk kami. Bagaimanapun, anak saya terus mengeluh bahawa cuaca terlalu sejuk," katanya.

Jurutera Al-Firman Zahari, 34, dari Johor, turut membawa keluarganya dari Jakarta untuk menikmati cuaca sejuk.

"Sekarang, kita tak perlu pergi jauh-jauh untuk menikmati cuaca indah ini.

"Walaupun perlu memakai jaket, saya rasa cuaca macam ni bagus untuk berjalan-jalan. Ia juga nampak seperti musim sejuk," katanya.

Bagi M. Tharani, 22, yang sedang belajar di sebuah universiti di Pahang, perjalanan ke sini pada hujung minggu dengan rakan-rakannya dirasakan mampu memberikan ketenangan.

"Kami mahu melepasakan tekanan dan cuaca sangat bagus. Kami akan mencari restoran baru untuk kami makan-makan," katanya.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang ‘gembira’ dengannya.

Suri rumah, Siti Zaleha Abdullah, 53, dari Taman Tun Dr Ismail, berkata cuaca seperti ini menyebabkan pakaian yang dijemurnya lambat kering.

"Sentiasa hujan dan mendung. Saya perlu minta anak perempuan saya bawa saya ke dobi untuk mengeringkan pakaian kami," katanya.

"Ini menambahkan kos tambahan kepada perbelanjaan keluarga."

Mohd Razif Abdul Karim, 29, berkata dengan cuaca sejuk dan hujan, lebih sukar baginya untuk berjoging.

"Biasanya, saya boleh berjoging di taman selepas kerja tetapi sekarang susah sikit," kata penduduk Petaling Jaya ini.

Kedai dobi layan diri di Seksyen 17, Petaling Jaya, dikunjungi ramai pelanggan, dengan ramai yang datang menggunakan pengering.

C.K. Wong berkata beliau membelanjakan RM4.50 untuk mengeringkan pakaiannya selama 23 minit di mesin itu.

"Jika tidak, pakaian saya akan berbau hapak dalam cuaca seperti ini," katanya.

Artikel Sebelum

Azmin Mampu Jadi PM - Tun M

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan