suria

Pesawat MH122 Dilencong Kerana Masalah Teknikal

Gambar hiasan. Foto caters news agency

KUALA LUMPUR: Penerbangan MH122 Malaysia Airlines dari Sydney ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs, Wilayah Utara Australia pada Khamis selepas menghadapi masalah teknikal pada satu daripada enjinnya.

Malaysia Airlines Bhd (MAB) dalam satu kenyataan malam Khamis berkata, pesawat A330-300 itu berlepas dari Sydney pada pukul 1.06 tengah hari dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Alice Springs pada pukul 5.48 petang.

"Keselamatan tidak pernah dikompromi dan kapten yang bertugas mengambil keputusan untuk melencongkan penerbangan itu bagi mendapat bantuan teknikal," katanya.

Menurut kenyataan itu, penumpang berkenaan akan berlepas dari Alice Springs ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan MH148 pada Jumaat.

"Penerbangan itu dijadualkan berlepas dari Alice Springs pada pukul 5.45 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pukul 9.50 malam pada hari yang sama."

MAB juga berkata, syarikat itu berusaha untuk membantu penumpang yang mempunyai penerbangan seterusnya, dengan mendapatkan penerbangan yang ada untuk ke destinasi mereka.

Sementara itu Pengurus Komunikasi Korporat MAB, Adlina Azharuddin ketika dihubungi Bernama berkata, kesemua penumpang selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, malah kesemua penumpang sudah diberikan penginapan hotel, makanan dan pengangkutan. - Bernama

MH122, Malaysia Airlines

Artikel Sebelum

Buruh Didakwa Bunuh Isteri

Artikel Berikut

Halang Solat, Pekerja Dibuang

Artikel Lain