KUCHING: Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari pintu gerbang Kampung Muara Tebas dekat sini digagalkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang sebelum sepasukan sembilan anggota daripada BBP Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian. Beliau berkata anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an berada di atas pintu gerbang Kampung Muara Tebas. "Setelah hampir dua jam memujuk, akhirnya lelaki itu berjaya dibawa turun dengan bantuan saudaranya menggunakan tangga jentera ‘Fire Rescue Tender'," katanya di sini pada Sabtu. Tiong berkata lelaki itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.- Bernama