suria

"Kemanusiaan" Tema Mural Terbesar Sarawak

SIBU: Bertemakan "Kemanusiaan", empat pelukis tempatan kini sedang giat menghasilkan lukisan dinding atau mural pada sebuah bangunan setinggi enam tingkat di sini.

Berukuran 567 meter persegi, karya seni di dinding Wisma Vasty yang terletak di Jalan Pulau, di sini mula dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

Empat pelukis terlibat menyampaikan mesej perpaduan ini adalah Aries Kong, Koh Yong Ling dari Bintangor, anak kelahiran Pulau Pinang, Taro Hooi dan anak tempatan, Jane Zhen.

"Jika cuaca mengizinkan, mural yang mengetengahkan imej 15 individu berbilang agama dan bangsa itu dapat disiapkan dalam masa 20 hari," kata Kong.

Malahan, katanya, lukisan dinding itu juga menyampaikan mesej mengenai hubungan rapat ibu bapa dengan anak mereka terutama belia, selain sikap penyanyang terhadap haiwan.

Mengenai pemilihan bangunan, kata Kong, beliau mendapatkan kebenaran pemiliknya setahun lalu.

"Bagaimanapun, projek ini hanya dapat dijalankan selepas tamat kontrak iklan syarikat telekomunikasi pada dinding bangunan itu," katanya.

Malahan, dua kertas cadangan yang dikemukakan kepada pemilik bangunan itu, Robert Lau Hui Yew pernah ditolak, sebelum beliau menyerahkan dokuman terbaru setahun lalu.

"Jika semuanya berjalan lancar, ia akan menjadi mural terbesar di Sarawak yang bukan sahaja dapat mempopularkan negeri ini, tetapi mendidik masyarakat," katanya.


Wisma Vasty, Aries Kong

Artikel Lain