suria

Pak Sahak Pernah Digeruni Thailand

Pak Sahak bangga mewakili Malaysia dan digeruni regu Thailand ketika zaman kegemilangannya pada tahun 1971 hingga 1979.

SIAPA tidak kenal raja sepak takraw negara?

Anak kelahiran Kuala Pilah, Sahak Yasin, 70, merupakan legenda dalam dunia sepak takraw yang digeruni regu Thailand ketika zaman kegemilangannya pada tahun 1971 hingga 1979.

Kini beliau dilihat aktif, setelah dilantik menjadi konsultan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) tahun lalu.

Popular dengan panggilan Pak Sahak, bekas anggota tentera ini pernah beraksi sebagai apit kanan dalam skuad negara dan mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah, ia masih segar dalam ingatan insan yang dikurniakan bakat menyinar dalam sukan tersebut, selepas menceburinya seawal usia 20 tahun.

Kata pemenang empat pingat emas Sukan SEA ini, kejayaan dikecapinya bukan datang bergolek, sebaliknya usaha untuk memajukan diri, selain semangat tinggi mengharumkan nama negara.

“Saya berbesar hati kerana dilantik sebagai konsultan PSTM dan berpeluang melihat corak permainan pemain negara.

“Selaku bekas pemain negara, saya terpanggil berkongsi pengalaman dan mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia dalam dunia sepak takraw.

“Dulu, semua negara gerun dengan negara kita, tapi kini dianggap biasa, malah mudah tewas kepada negara luar,” katanya.

Utamakan disiplin diri

Melihat kepada mutu permainan skuad negara, Pak Sahak akui sedih kerana pemain pada masa kini tidak seperti zamannya ketika tahun 70-an dan 80-an.

“Paling penting adalah disiplin, dan tidak melupakan ALLAH SWT. Kalau dua-dua ni tak seiring, apa dihajati tak akan tercapai.

“Hadir pada latihan pun kena tepat masa, jika latihan mula jam 7.30 pagi, hadir lebih awal dan jangan lewat. Bila perkara asas ini pun main langgar, semua perkara tak jadi.

“Jangan salahkan jurulatih jika sesebuah pasukan itu kalah, tanya diri sendiri, sebab apa kalah? Jika pemain bermasalah dan tak berdisiplin, walaupun jurulatih itu dibawa turun dari langit sekali pun, tak akan dapat membentuk pasukan yang berjaya,” katanya.

Kata Pak Sahak lagi, pemain juga mesti tanamkan dalam dirinya semangat juang yang tinggi.

“Bila kita berlawan kita ibarat sedang berperang. Kita kena main bersungguh-sungguh dan bermati-matian. Jika kita tak fokus dan lalai, maka sudah tentu kita mudah ditewaskan musuh.

“Ini kerana, ketua jurulatih dan jurulatih, boleh beri 100 peratus segala gerak laku dalam latihan. Apa pun pemain itu sendiri yang bertanggungjawab mencorakkan permainan, buruk baiknya adalah dari kemahiran.

“Pemain juga jangan berpuas hati apabila mencapai kejayaan, sentiasa buat yang terbaik dan memperbaiki kelemahan tanpa arahan jurulatih mahupun ketua jurulatih,” katanya.

Cipta teknik mengadang

Beliau juga berkongsi, sikap disiplin itulah yang beliau pegang semasa mewakili Malaysia dan tidak pernah tewas kepada Thailand.

“Waktu dulu, saya tak pernah duduk diam. Ada saja masa terluang, saya akan bersukan, joging, walaupun tanpa arahan jurulatih demi ketahanan fizikal yang kuat.

“Saya juga berfikir di luar kotak untuk mempelbagaikan teknik rejam. Ini kerana, kita yang mencorakkan permainan ketika beraksi, saya jugalah orang pertama mencipta teknik mengadang.

“Dan jangan terkejut, sepanjang beraksi, saya tak pernah cedera, disebabkan saya ‘landing’ cantik. Tapi saya tengok permain kini, ‘landing’nya terjatuh, dan boleh mencederakan anggota badan,” katanya.

Beliau turut berbangga melihat pemain skuad elit negara, tekong Mohd Syahir Rosdi, berpotensi menjadi pemain terbaik Asia.

“Saya lihat Mohd Syahir mampu pergi lebih jauh kerana ‘servisnya menggeruni pihak Thailand, Singapura.

“Melakukan lompatan yang baik dan lihat dahulu arah bola tersebut sebelum mengadang. Jika teknik betul ini dipraktikkan, saya percaya regu negara sukar untuk dicabar,” katanya.

Beri pekerja berlatih

Dalam pada itu, katanya, isu pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada majikan untuk berlatih dan beraksi bersama skuad elit negara, telah lama diperkatakan.

“Sewajarnya, majikan perlu beri ruang dan peluang untuk pekerja (pemain) mengikuti latihan demi mengharumkan nama negara.

“Bukan memberi masa yang singkat seperti dua hari hendak pergi bertanding, pelepasan baru diberikan.

“Sedikit sebanyak, perkara ini menjejaskan fokus, mutu, corak permainan dan keserasian antara regu itu tidak tercapai,” katanya berpendapat isu itu perlu mendapat kerjasama dari majikan masing-masing.

Dalam pertemuannya di Kampung Nuri, Johol, Khamis, Pak Sahak juga meletakkan sasaran kepada skuad negara untuk merangkul emas di Piala Asia pada Ogos di Palembang, Indonesia.

Beliau yang baru dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), kelmarin, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Diraja Seri Menanti,  juga sempat menunjukkan beberapa cara libasan maut yang akan ditunjuk kepada pemain yang dipilih mewakili Malaysia untuk berkampung di Bukit Jugra Kuala Selangor pada 21 Januari hingga 23 Januari bagi latihan fizikal. - Sinar Online

Pak Sahak, sepak takraw

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan