suria

Guru Terkejut, Budak Lelaki Bawa Karung Ke Sekolah

PETALING JAYA: Sesi pemeriksaan mengejut yang dilaksanakan pihak guru biasanya boleh membuatkan pelajar bermandi peluh, lebih-lebih lagi jika ada antaranya membawa barangan yang dilarang 'masuk' ke sekolah.

Namun, lain ceritanya dengan pengalaman seorang guru pra sekolah yang berdepan situasi melucukan apabila dia terpaksa merampas objek yang pada mulanya sukar dikenal pasti daripada seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Guru tersebut bertindak memuat naik gambar barang 'rampasan' itu di laman Facebook dan  ia telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang tidak menyangka objek tersebut sebenarnya adalah 'bantal busuk'.

"Inilah pemilik barangan berharga itu... sudah ada video suruh tunjuk demonstrasi bagaimana kegunaan barang itu.

"Awas ya! Cikgu tidak berniat apa-apa tetapi itu adalah soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) berdasarkan situasi yang berlaku," tulis seorang guru, 'Aidil Papadil' menerusi posting tersebut.

Kiri: Keadaan bantal busuk milik Rafa Aqil Rizqi ketika 'dirampas' oleh gurunya. Kanan: Keadaan bantal itu semasa masih dalam keadaan baik.

Posting berkenaan menerima sebanyak 2,397 perkongsian dan lebih 1,600 tanda suka.

Sementara itu, ibu kanak-kanak cilik itu, Aaina Shazwani Ajma'ain, 26, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia sendiri tidak menyangka bahawa video dan gambar anaknya akan tular selepas dikongsikan oleh seorang guru.

"Kalau diikutkan memang dia tidak dapat berpisah dengan bantal itu, tapi dia tidak bawa ke sekolah.

"Kebetulan hari tersebut dia terbawa, bukan disengajakan kerana selalunya dia memang akan pegang bantal itu sebelum pergi ke sekolah," katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.

Kata Aaina Shazwani, anaknya Rafa Aqil Rizqi Mohd Tarmizi menggunakan bantal tersebut sejak lahir dan tidak sabar menunggu ia kering setiap kali dicuci.

Keadaan bantal 'busuk' itu juga sudah lunyai dan kelihatan berbeza daripada ketika ia mula-mula digunakan.

bantal busuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain