ALOR SETAR: Pameran bunga ros bercahaya yang dijadual bermula esok di Taman Jubli Emas dekat sini terpaksa ditangguhkan kira-kira beberapa hari berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. Jurucakap penganjur program berkata, keadaan padang yang becak disebabkan cuaca hujan sejak beberapa hari ini menyukarkan pihaknya untuk membuat kerja pemasangan bunga ros yang menggunakan lampu diod pemancar cahaya itu. "Kita memikirkan faktor keselamatan untuk para pengunjung kerana pemasangan ini melibatkan kerja-kerja pendawaian elektrik juga bagaimanapun buat masa ini kita sedang memantau keadaan cuaca ini dan kalau keadaan sudah mengizinkan kita akan membuat pemasangan dengan segera," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa. Mengikut jadual, Pesta Taman Bercahaya dan Belon Udara Panas tersebut sepatutnya bermula esok sehingga 3 Februari depan dan dijangka menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung. Menurut perancangan, kira-kira 10,000 hingga 15,000 bunga ros bercahaya akan disusun atur dalam dekorasi yang menarik di padang Taman Jubli Emas dengan tiket masuk RM6 bagi dewasa dan RM4 kanak-kanak.