KUALA TERENGGANU: Kedegilan pihak yang masih meneruskan operasi ‘kelab dangdut’ untuk golongan warga emas meskipun pernah ditegur sebelum ini mengundang ketidakselesaan penduduk di Kampung Telari, Manir, di sini. Difahamkan, penduduk setempat pernah memberi teguran kepada pemilik premis terbabit namun tidak diendahkan. Kelab yang wujud sejak lima tahun lalu menjadi tarikan pelanggan warga emas berusia antara 60 hingga 70 tahun dan dipercayai menyediakan hiburan tarian yang mengghairahkan oleh penghibur wanita muda yang berpakaian sendat dan seksi. Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati ‘kelab dangdut’ itu menjadi tumpuan pelanggan bermula jam 9 malam dan aktiviti di kawasan berkenaan berlarutan hingga ke awal pagi. Pelanggan veteran dilihat tanpa segan silu asyik menari dan menyanyi di pentas di perkarangan ‘kelab dangdut’ dengan disulami unsur lucah sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran. Bukan itu sahaja, pelanggan veteran ini dikatakan ada memberi tips kepada penari dan penghibur ‘kelab dangdut’ itu bersesuaian dengan persembahan diberikan. Malah lebih memalukan, pihak terlibat dilihat langsung tidak menghormati jemaah masjid memandangkan jaraknya hanya 200 meter dari kawasan masjid. Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zaki, 41, berkata, kawasan itu pada mulanya dijadikan tempat penganjuran aktiviti dikir barat sejak 20 tahun lalu tetapi mula berubah wajah menjadi ‘kelab dangdut’ sejak lima tahun lalu. “Aktiviti dangdut diadakan antara tiga hingga empat kali seminggu dengan empat hingga lima penyanyi dibawa dari Kelantan. “Kebanyakan pengunjung yang datang terdiri daripada warga emas, mereka juga dilihat langsung tidak menghormati jemaah yang mengadakan program keagamaan di masjid kerana jaraknya terlalu dekat,” katanya. Zaki berkata, biasanya setiap kali persembahan diadakan, lebih 100 hingga 200 pengunjung akan datang yang mana bukan hanya dari kampung itu tetapi pelanggan dari daerah lain.