SHAH ALAM: Jika sebelum ini nitizen melontarkan kecaman terhadap rekaan logo ‘Visit Malaysia’ (Tahun Melawat Malaysia) 2020, kali ini giliran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula tampil berbuat demikian. Dengan nada sinis, Mahathir ‘memuji’ akan kecantikan logo terbabit menerusi rakaman video yang dimuat naik melalui laman Facebooknya pada Selasa. “Wah, cantik benar logo untuk Visit Malaysia 2020, tetapi gambar nampak macam kera ke manusia ke? Inikah yang akan menarik orang melancong ke Malaysia. “Saya fikir, mereka akan berasa pelik. Mungkin kerana pelik ia akan menarik. Itu saya tidak tahu, tetapi saya fikir banyak lagi design (rekaan) yang lebih cantik yang lebih menarik,” katanya. Menurut Mahathir, beliau percaya rekaan yang jauh lebih baik akan dihasilkan oleh anak muda yang berbakat. Sebelum ini, Kementerian Pelancongan Malaysia tidak bercadang untuk menarik semula logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 meskipun dikritik di media sosial. Logo yang memaparkan binatang seperti orang utan dan penyu itu dikritik oleh netizen yang juga mempersoalkan kualiti rekaan grafik yang tidak memuaskan. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata, logo terbabit akan diguna pakai daripada sekarang hingga tahun berkenaan (2020). Mohamed Nazri menjelaskan logo berkenaan dibuat sendiri oleh kakitangan di Kementeriannya, dan ia tidak mengeluarkan sebarang kos. - Sinar Online