PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia hanya akan menempatkan kru kabin lelaki untuk penerbangan ke dan dari Aceh. Keputusan dibuat selepas pihak berkuasa wilayah Indonesia itu mengeluarkan arahan bahawa semua kru kabin wanita Muslim harus memakai hijab ketika tiba di wilayah tersebut. "AirAsia akur kepada peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa wilayah Aceh. Kami komited untuk memastikan kru operasi kami mematuhinya. "Buat masa ini, semua penerbangan AirAsia dari dan ke Aceh akan dikendalikan oleh anak-anak kapal lelaki," kata AirAsia dalam satu kenyataan ringkas. Pada Rabu, pihak berkuasa Aceh mengemukakan surat kepada syarikat penerbangan Indonesia, Garuda Indonesia dan syarikat tambang murah lain seperti AirAsia dan Firefly, mengarahkan kru kabin wanita Muslim memakai tudung semasa ketibaan atau berdepan hukuman oleh pihak berkuasa. Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, syarikat penerbangan itu mungkin hanya akan menempatkan kru lelaki atau bukan Islam dalam penerbangannya ke Acheh. Ong juga berkata syarikat penerbangan bajet itu sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pakaian seragam yang sesuai untuk kru kabin wanita Muslim. "Kami masih menilai keadaan. Tiada keputusan kukuh telah dibuat," katanya ketika dihubungi. AirAsia dan Firefly adalah syarikat penerbangan utama yang mengendalikan penerbangan ke Banda Aceh. Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang telah menerapkan hukum syariah.