PETALING JAYA: Lelaki yang menyerah diri dengan membawa mayat kekasihnya ke Balai Polis Damansara pada Isnin ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa berhubung kes membunuh wanita itu. Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Siti Mazrah Mohamad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 37 tahun itu sehingga 12 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. Lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada pukul 11.15 pagi. Pada Isnin, media melaporkan bahawa anggota polis yang bertugas di Balai Polis Damansara terkejut apabila seorang lelaki membawa sendiri mayat teman wanitanya dengan sebuah kereta sebelum menyerah diri. Sebelum itu, lelaki itu mendakwa telah membunuh teman wanitanya di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara. - Bernama