suria

Kena Ejek, 'Malaysia' Tak Kisah

Nor Malaysia (kanan) nama penuhnya di Mykad.

LABIS: Memiliki nama pelik tidak menghalang gadis ini bergaul dengan masyarakat walaupun mengakui pernah tertekan kerana menjadi bahan ejekan rakan-rakannya ketika zaman persekolahan dahulu.

Bagaimanapun, selepas menginjak dewasa, Nor Malaysia Anwar, 30, sudah tidak lagi berasa rendah diri, sebaliknya bangga kerana mungkin dia  antara rakyat di negara ini yang menggunakan perkataan ‘Malaysia’ sebagai nama.

“Dahulu ketika masih bersekolah, saya sangat tertekan kerana nama saya sering diejek pemandu bas sekolah dan rakan-rakan lain dengan panggilan seperti ‘Selamat Pagi Malaysia’ dan ‘Malaysia Hari Ini’.

“Namun, saya beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang sentiasa memberi saya kata-kata semangat supaya tidak berasa rendah diri dan lama kelamaan kesemua itu sudah menjadi seperti satu kebiasaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut anak kedua daripada lapan beradik, pasangan Anwar Mursidek, 58, dan Fatimah Mislan, 56, itu, banyak pengalaman mencuit hati yang turut dialaminya setiap kali melakukan urusan rasmi di pejabat kerajaan ketika namanya dipanggil.

Katanya, sewaktu dia sedang memohon pasport antarabangsa di Pejabat Imigresen Batu Pahat, beberapa tahun lalu, semua yang berada di pejabat tersebut memandangnya ketika namanya dipanggil oleh pegawai yang bertugas.

“Ada juga yang beranggapan saya berseloroh ketika saya memberi tahu nama sebenar saya kepada mereka. Namun, selepas saya menunjukkan kad pengenalan, baru mereka faham dan tidak banyak bertanya mungkin bimbang saya tersinggung.

“Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak termasuk kedua ibu bapa yang memberi nama ini kepada.

“Sebaliknya, saya kini bangga dengan nama tersebut walaupun pernah berasa rendah diri suatu ketika dahulu,” katanya.

Menurut cerita ibu bapanya, dia mendapat nama tersebut disebabkan sedikit salah faham yang berlaku di antara anggota Balai Polis Chaah yang menerima pendaftaran bapanya.

Cerita Nor Malaysia lagi, bapanya ketika itu berhasrat mahu memberi nama ‘Nor Melissa’ namun berlaku sebaliknya.

Menurutnya, dia juga pernah cuba memohon menukar nama tersebut kira-kira 10 tahun lalu, namun disebabkan prosesnya agak sukar dan memerlukan dia serta ibu bapanya berulang alik ke pejabat pendaftaran di Johor Bahru, dia membatalkan sahaja niat itu.

Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan suaminya, Mohd Norhasif Sarip, 29, pada 29 September tahun lalu, suaminya ada menyuarakan supaya menukar nama kepada yang lebih sesuai.

“Namun, sehingga kini dia (suami) belum memikirkan nama baharu untuk saya dan bagi saya, saya sendiri sudah selesa dengan nama ini. Kalau ada anak, kami juga tidak bercadang untuk meletakkan nama-nama yang pelik,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, pada awalnya dia juga tidak bersetuju dengan tindakan bekas suaminya memberi nama anak keduanya Nor Malaysia, namun secara perlahan-lahan mula menerimanya.

“Makcik melahirkan dia (Nor Malaysia) di rumah ketika itu, dan mungkin ketika bekas suami mendaftarkan namanya, terdapat sedikit masalah komunikasi. Ketika itu makcik fikir mungkin namanya akan dijadikan bahan ejekan sewaktu dia bersekolah.

“Namun, itu cerita dulu dan sekarang makcik sendiri rasa namanya sangat unik dan tidak ramai orang di negara ini yang namanya sama dengan anak makcik,” katanya.-Sinar Harian

Nama Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain