suria

Tiada Lagi Isu Dilarang Pemakai Tudung Pekerja Wanita Hotel

PUTRAJAYA: Tiga persatuan hotel hari ini menandatangani aku janji bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita hotel memakai tudung.

Tiga persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA), yang mewakili lebih 3,000 hotel di negara ini.

Timbalan Mente­ri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata melalui aku janji itu, semua hotel berkenaan diharap mematuhi semua yang telah dipersetujui termasuk berhubung larangan bertudung.

“Kementerian amat berbesar hati dengan kesungguhan mereka yang terlibat dalam memastikan hak-hak pekerja tidak didiskriminasikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani aku janji itu di sini, Khamis.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan diskriminasi terhadap pekerja.

Ismail berkata pemeriksaan berkanun terhadap para majikan sektor perhotelan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memantau komitmen pihak hotel khususnya bagi memastikan tiada larangan pekerja wanita bertudung di tempat kerja.

Sejak  Disember tahun lepas, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di lebih 600 hotel untuk memastikan tiada diskriminasi dalam pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita Islam, katanya.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) juga akan mengadakan beberapa sesi dialog dengan para Pengurus Sumber Manusia sektor perhotelan di seluruh negara.

“Ini bertujuan untuk menjelaskan dan mendapatkan komitmen mereka agar polisi larangan bertudung pekerja wanita dan isu diskriminasi lain di sektor perhotelan tidak termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP)  mereka,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia mendedahkan  sebanyak 13 hotel telah menetapkan dasar yang melarang pekerja wanita bertudung membabitkan bahagian tertentu khususnya di bahagian makanan dan minuman serta bahagian hadapan.—Bernama

MAH, Ismail, MYBHA

Artikel Berikut

Artikel Lain