suria

“Tarian Itu Boleh Mengundang Godaan”

PETALING JAYA: Sebuah video yang menunjukkan beberapa pasangan suami isteri sedang mengikuti kelas kehamilan mengundang kecaman netizen kerana dianggap bertentangan dengan syariat Islam sejak ia dimuat naik pada Khamis.

Aksi peserta kelas tersebut yang menari beramai-ramai dengan pasangan masing-masing sambil memejamkan mata didakwa boleh menimbulkan keghairahan dan tidak sesuai untuk menjadi tontonan umum.

Seorang netizen menyelar perbuatan pasangan terbabit dalam video tersebut kerana beranggapan mereka tidak segan silu terhadap satu sama lain.

"Mengada... kalau tak rakam pun tak kan la tak rasa segan? Ada pasangan lain.

"Eh, tak masuk dalam kepala otak. Mengarut sungguh kalau kat rumah kau dua orang je suami isteri, suka hati la nak buat macam mana pun," tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi netizen berkata: "Tak segan ke mereka? Aku dulu sekali dua pergi zumba (sejenis tarian rancak) pakai pakaian patuh syariah pun segan orang tengok.

"Lepas daripada itu, aku tak pergi zumba dah, sebab pergerakan kita pun boleh jadi nafsu kepada orang lain. Inikan pula benda macam ni," tulis wanita itu.

Antara komen yang ditinggalkan oleh netizen.

Kecaman yang dilontarkan oleh netizen itu ada asasnya, apabila pendakwah dan penulis buku agama, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan daripada segi hukum tentang perbuatan tersebut di sisi agama.

Beliau berkata, tarian seperti itu bukan sahaja tidak disarankan dalam Islam, malahan bertentangan dengan akhlak seorang Muslim.

Pahrol Mohamad Juoi.

"Hukumnya adalah berdosa kerana wanita kena tutup aurat bukan sahaja melalui pakaian, tapi mereka juga tidak boleh menunjukkan lekuk-lekuk pada tubuh.

"Apabila menari dalam keadaan begitu, ia boleh mengundang godaan dan tidak boleh ditunjukkan kepada lelaki ajnabi lain," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Melalui rakaman video tersebut, terdapat enam pasangan suami isteri menari sambil mengusap perut si isteri sehingga ia tular dan menerima sebanyak 1.1 juta tontonan serta lebih 12,000 perkongsian di laman Facebook.

Menurut Pahrol, sekalipun pasangan di dalam video tersebut tidak mengizinkan rakaman itu dimuat naik oleh mana-mana pihak ke laman sosial, ia tetap berdosa kerana terdapat pasangan lain di dalam kelas itu.

"Orang yang muat naik itu mungkin lebih banyak dosanya kerana dia telah menyebarkan kepada orang ramai," katanya.


kelas mengandung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain