suria

Siasatan Kes Kebakaran Bangunan KWSP Ambil Masa Seminggu

Aggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Selasa. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

PETALING JAYA: Laporan penuh siasatan kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Mohd Hafiz Mat Dali berkata, tempoh itu adalah bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum mengisytiharkan keseluruhan unit berkenaan selamat digunakan.

"Di samping itu, kita juga akan menilai jumlah kerugian yang terlibat," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Mohd Hafiz berkata, setakat ini, pasukan forensik telah selesai mengambil sampel dari kawasan kebakaran.

Tinjauan Bernama setakat pukul 5 petang Selasa mendapati kakitangan KWSP sedang berkumpul bagi mengambil barangan peribadi yang ditinggalkan dalam bangunan itu dengan bantuan anggota Bomba.

Seramai 527 orang pekerja berada di bangunan setinggi enam tingkat itu ketika kejadian dan tiada mangsa yang cedera.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 11.52 pagi ini dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian dan dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit. - Bernama

KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut